Negara berdepan warga emas dementia

KUCHING: Persidangan Kesihatan Mental Keenam terbuka kepada masyarakat pelbagai peringkat umur. Pengarah Hospital Sentosa Kuching Dr Rosliwati Md Yusoff berkata, dalam persidangan itu terdapat empat bengkel diadakan yang memberikan manfaat dan faedah kepada komuniti.

Katanya, melalui bengkel ini peserta diberi peluang melaksanakan apa-apa yang diperoleh daripda bengkel itu dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Rosliwati memberi contoh bengkel cabaran penjagaan dementia – sejenis penyakit otak yang progresif – apabila negara dijangka mempunyai bilangan warga emas terbanyak menghidap dementia pada 2022.

“Melalui bengkel ini, kita mempunyai tip mengenai penjagaan menjaga seseorang yang menghadapi dementia,” katanya pada satu sidang media mengenai persidangan kesihatan mental keenam di Hospital Sentosa Kuching baru-baru ini.

Menurut Rosliwati, Hospital Sentosa Kuching menerima 954 pesakit pada 2019 sementara hospital itu mempunyai 338 katil untuk pesakit. Katanya, kebanyakan pesakit dimasukkan ke Hospital Sentosa untuk menerima rawatan mental kerana pelbagai faktor. Tambah Rosliwati, faktor persekitaran merupakan salah satu faktor pesakit menghidapi tekanan.

“Kita semua mendapat tekanan, apabila ia tidak dapat ditangani, ia akan mendatangkan masalah. “Apabila masalah itu dikumpul, lamakelamaan ia akan pecah, ia menjadi penyakit dan susah untuk dirawat,” katanya.

Pada masa yang sama, Ketua Saintifik Persidangan Kesihatan Mental Dr Sharifah Hafizah Datuk Wan Kassim berkata, selain persekitaran, penyalahgunaan dadah dan bahan juga mengundang kepada masalah kesihatan mental.

Jelasnya, mereka mempunyai masalah tekanan ini akan mengubati diri mereka sendiri dan mereka akan ketagih dan merosakkan otak mereka. Sharifah memberitahu, golongan dewasa dalam lingkungan usia 30 ke 50 tahun turut menghadapi masalah kesihatan mental.

Suara Sarawak