Negeri Digital 2030

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PERSIDANGAN Ekonomi Digital Global 2023 berlangsung di Beijing, China pada 5 Julai 2023.

Forum utama persidangan “Data Mendorong Pengembangan, Kecerdasan Memimpin Masa Depan” (Data Drives Development, Intelligence Leads the Future) cuba menerobos hala tuju dan masa depan ekonomi digital.

Pada forum tersebut, China melaporkan peningkatan signifikan ukuran ekonomi digitalnya selama tujuh tahun terakhir di tengahtengah pantasnya perkembangan ekonomi global.

Sejak 2016 hingga 2022, skala ekonomi digital China meningkat sehingga AS$4.1 trilion (RM18.64 trilion) dengan tingkat pertumbuhan gabungan tahunan sebesar 14.2 peratus.

Skala ekonomi digital China tumbuh menjadi 50.2 trilion yuan (RM31.96 trilion) pada 2022.

Pangsa ekonomi digital dalam Produk Domestik Bruto (PDB) negara itu naik kepada 41.5 peratus, menjadikannya mesin penting untuk pertumbuhan dan transformasi yang stabil.

Signifikannya, pencapaian China ini menjadi panduan banyak negara di dunia termasuk Malaysia.

Bagi Sarawak yang kini memasuki fasa kedua perancangan ekonomi digital merangka “Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030” (Sarawak Digital Economy Blueprint 2030).

Hal Ini diumumkan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Sidang DUN Sarawak Ke-19 pada 24 Mei 2023 lepas.

INDUSTRI DIGITAL

Ketika ini, negara di seluruh dunia mempercepat pengembangan ekonomi digital dan aktif memanfaatkan peluang pembangunan bidang teknologi dan industri digital, digitalisasi industri dan elemen data.

Rekod 2022 menunjukkan pendapatan pasar kecerdasan buatan global naik 17.3 peratus kepada AS$450 bilion (RM2.04 trilion).

Data 2022 juga menyaksikan pendapatan industri pembuatan informasi elektronik China mencapai 15.4 trilion yuan (RM9.8 trilion).

Pada Mac 2023, sebanyak 256 operator jaringan di 95 negara mengkomersialkan teknologi 5G.

Manakala, pengguna 5G dunia mencapai 1.15 bilion pengguna dengan tingkat cakupan populasi terhadap jaringan 5G mencapai 30.6 peratus, meningkat 5.5 peratus secara tahunan.

Pada upacara pembukaan persidangan tersebut, 4 Julai 2023, Beijing dan 18 kota besar lain termasuk Abu Dhabi, London, Macau, San Francisco, Wina, Vientiane dan Zaragoza melancarkan inisiatif kerjasama kota kemitraan ekonomi digital global.

Inisiatif tersebut mencakup aspek mempercepat proses transformasi digital kota, pembangunan hijau melalui pemberdayaan digital dan menyokong kerjasama inklusif digital global.

Hal ini bertujuan membangun jaringan inovasi terbuka untuk ekonomi digital antara kota global dan dalam sejumlah kerangka kerja bilateral.

Malaysia sendiri seharusnya tidak ketinggalan dan mesti berada dalam kemitraan ini kerana ekonomi digital itu bergerak secara globalisasi.

Bermula 2018, Sarawak mula merancakkan ekonomi digital cetusan Persidangan Antarabangsa ICT, Infrastruktur dan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2017.

ANJAKAN PARADIGMA

“Keutamaan pertama saya untuk Sarawak sejak menjadi Ketua Menteri pada 13 Januari 2017 adalah untuk membawa anjakan paradigma utama dalam strategi pembangunan kami,” kata Abang Johari dalam kata penghantar buku kecil “Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022”.

Semenjak itu, 2018 hingga 2022, pelaksanaan ekonomi digital Sarawak terus ke depan.

Antara kejayaan Sarawak yang jelas sepanjang lima tahun lepas ialah menubuhan: Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Kampung Digital, selain menambah baik prasarana ICT, mempromosi e-Pembelajaran, mempromosi pengehosan data dan data raya serta menganjurkan makmal ekonomi digital.

Pelan tindakan ini menjadi garis hala tuju mentrasformasikan ekonomi daripada yang berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mampan.

Meneruskan kesinambungan perjalanan ekonomi digital Sarawak, fasa kedua digerakkan sesuai Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

Enjin ekonomi digital fasa kedua bermula 2024 dengan pelan tindakannya mengutamakan lima tonggak strategik:

i. mempercepat pendigitalan sektor ekonomi dan pengewangan data

ii. memperkembang perniagaan digital

iii. mengubah sektor awam untuk menyampaikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan dipercayai iv. meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan penggunaan teknologi perbatasan (frontier tech) dan v. membina asas untuk meningkatkan ketersediaan digital.

Pelan tindakan ini dilaksanakan dalam tiga fasa: fasa pertama pada 2025 – melibatkan aspek meningkatkan ketersediaan digital fasa kedua pada 2027 – mempercepat transformasi digital, sektor ekonomi utama, meningkatkan perkhidmatan kerajaan dan mengembangkan teknologi tinggi pemula fasa ketiga 2030 – menjadikan Sarawak negeri digital menjelang 2030 dengan kemudahan menjalankan perniagaan dan kerajaan mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif serta peluang sama rata untuk rakyat meningkatkan status ekonomi sosial.

BINA EKOSISTEM

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu pada sidang DUN Sarawak Ke19 berkata, Sarawak membina ekosistem untuk menarik industri baharu yang memberi tumpuan kepada pusat data berpiawaian antarabangsa, penciptaan kandungan digital serta meningkatkan inovasi digital dan keusahawanan.

Kesemua inisiatif tersebut diyakini menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak berjumlah RM56.4 bilion pada 2030.

Ini sekali gus mewujudkan lebih 45,000 pekerjaan baharu bergaji tinggi dengan 80 peratus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) menerima pakai aspek pendigitalan.

Bagi Malaysia sendiri, ekonomi digital menjadi antara teras utama ekonomi Malaysia dengan menyumbang 23.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan seterusnya diunjur meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025, sekali gus mampu membuka 500,000 peluang pekerjaan.

Membuka laluan bagi Dekad Digital Emas di Malaysia, kerajaan merangka pelan strategik komprehensif yang menumpukan usaha memperkasa infrastruktur komunikasi, mengukuhkan keselamatan siber dan memacu pertumbuhan ekonomi digital secara berterusan.

Menjelang 2030 kelak, sesuai dengan Sarawak mencapai status wilayah maju, berpendapatan tinggi, semua segmen ekonomi; perlombongan, pertanian, perhutanan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan terserap dengan era baharu digital serta dipacu secara digital menggunakan teknologi maklumat (ICT) dan teknologi perbatasan.

Ketika itu semua ekonomi termasuk ekonomi digital, akan terserap dan akan disebut sebagai bidang ekonomi sahaja.

Dana Kekayaan Berdaulat masa Depan Sarawak juga harus selari dikembangkan untuk dijadikan sandaran dana masa depan. 

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Dunia maya serba lain

KOMPUTER ruangan atau spatial computer membenarkan pengguna berinteraksi dengan skrin

Kebangkitan BRICS

BRIC singkatan kepada kelompok negara Brazil, Rusia, India dan China

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja