MUKAH: Seorang nelayan berusia 42 tahun dikhuatiri hilang terjatuh ke dalam sungai semasa menjala udang di Kuala Sungai Basung, Sungai Jebungan Batang Mukah pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, berdasarkan maklumat dari isteri mangsa, suaminya Muhammad Rushdi Abdullah terdahulu keluar menjala udang sekitar jam 8 pagi dan berpakaian baju kuning.
“Setelah itu, lebih kurang jam 9 pagi bertempat di Kampung Tegak Mukah, seorang warga emas memaklumkan telah menjumpai perahu milik mangsa di Sungai Jebungan Batang Mukah.
“Namun pemiliknya tidak ditemui di perahu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, usaha mencari dan menyelamat oleh penduduk kampung telah dijalankan, namun gagal menemui mangsa, sebelum kehadiran pihak Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut tiba bagi membantu.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (OP SAR) telah digerakan oleh agensi-agensi terlibat bagi mengesan mangsa,” ujarnya lagi,
Sehinga berita ini ditulis operasi pemantauan dan pencarian mangsa dilakukan menggunakan bot dan perahu di lokasi kejadian dan kawasan sektar oleh pihak Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, APM dan penduduk kampung.