TAHUN 2023 menyaksikan negara berhadapan krisis tenaga manusia dan keterjaminan makanan.
Bahkan, prospek sektor agromakanan negara diramalkan sedikit “pahit” terutama dalam mengekalkan pertumbuhan perdagangan susulan peningkatan ketidaktentuan geopolitik dan penyusutan eksport.
Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan pelbagai langkah intervensi bagi membantu mengawal harga dengan menstabilkan bekalan.
Fokus adalah untuk keterjaminan makanan sebagai antara perkara yang menjadi keutamaan kerajaan seiring objektif Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021- 2025 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Maka, digariskan lima hala tuju dan fokus utama menjayakan agenda keterjaminan makanan negara.
Pertama, memperkasa industri akuakultur dengan menyasarkan peningkatan hasil ikan daripada aktiviti akuakultur kepada 60 peratus.
Kedua, memperluas penternakan lembu secara fidlot bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan dan eksport supaya sasaran pengeluaran daging tempatan dapat mencapai sasaran 50 peratus daging menjelang 2025.
Ketiga, memulakan usaha penanaman jagung bijian bagi mengurangkan 30 peratus daripada pergantungan import.
Keempat, memastikan rakyat mempunyai akses kepada semua jenis nutrien yang diperlukan.
Kementerian juga meningkatkan penglibatan belia dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar selaras Revolusi Perindustrian Keempat.
Hala tuju kelima, memperkasa institut latihan pertanian bagi melahirkan graduan berkualiti dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan serta pertanian moden selaras hasrat negara membentuk pekerja mahir pertanian.
ATASI KEKURANGAN IKAN
Hala tuju dan teras pertama yang ditekankan ialah pemerkasaan industri akuakultur.
KPKM berhasrat menjadikan sektor akuakultur ikan marin dan air tawar sebagai salah satu sektor utama bagi meningkatkan kadar sara diri dan pendapatan penternak.
Menurut Timbalan Menteri KPKM Chan Foong Hin semasa sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, usaha ini dijangka mampu menyediakan 2,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.
Menjelang 2025, disasar dapat mengeluarkan 150,000 tan metrik dan pada 2030 berjumlah 214,000 tan metrik.
Maka, KPKM melaksanakan penyusunan semula kawasan akuakultur dan pemantapan aktiviti ternakan ikan air tawar dengan memberi fokus kepada peningkatan pengeluaran.
Malah, sasaran 40 peratus pengeluaran sektor akuakultur dijangka mampu mengatasi bekalan kekurangan ikan di dalam negara.
Ini memandangkan pembangunan akuakultur dilihat berpotensi dimajukan secara komersial bagi meningkatkan pengeluaran dan menjamin bekalan ikan dalam negara.
Justeru, ia wajar diperkukuh supaya lebih berdaya maju dan mampu menampung sumber protein daripada ikan air tawar termasuklah meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan dan keselamatan makanan daripada sumber kolam yang diakreditasi (myGAP).
SAHUT CABARAN
Dalam laporan akhbar nasional, pada 2020 subsektor akuakultur mencatatkan pengeluaran sebanyak 400,000 tan metrik bernilai RM3.6 bilion iaitu 22 peratus daripada pengeluaran ikan negara.
Ini menunjukkan sektor ini memainkan peranan penting dari tiga sudut iaitu sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, strategi membasmi kemiskinan dan sebagai sumber utama makanan yang menjadi keperluan penduduk negara ini.
Semasa Program Rahmah Mesra Madani Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Datuk Fadzil di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong baru-baru ini, para nelayan dicabar untuk menguasai bidang akuakultur.
LKIM membantu terutama untuk menggerakkan semula semua aset serta menjalin kerjasama dengan pihak swasta.
Manfaatnya dari sudut pemindahan teknologi (ToT) dengan mereka belajar daripada pihak swasta tentang teknikal, pengurusan, pemasaran akuakultur.
Akhirnya, mereka dapat berdikari untuk mengusahakan bidang akuakultur.
Maka, nelayan disyor dan dicabar untuk terlibat dengan aktif dalam bidang akuakultur.
Selepas ini, nelayan bukan sahaja menangkap ikan, tetapi mampu menjadikan bidang akuakultur dan hiliran sebagai satu lagi sektor ekonomi yang mampu menjana pendapatan.
Jangan pihak swasta yang memonopoli bidang akuakultur sedangkan para nelayan sendiri boleh melakukannya.
DIPLOMA AKUAKULTUR
Program ini melahirkan sumber manusia terlatih dalam bidang akuakultur seterusnya menyumbang pembangunan industri akuakultur di Malaysia.
Ia mendedahkan golongan muda kepada amalan serta latihan di pusat penetasan dan kolam pembiakan.
Dilatih secara individu untuk mengendali dan mengurus pusat penetasan dan kolam ternakan dalam kumpulan melalui pertanian kongsi bermula proses pembiakan sehingga ke peringkat penuaian dan pemasaran.
Latihan industri di ladang akuakultur, sektor kerajaan dan swasta, institut penyelidikan dan pusat penetasan tempatan serta luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman.
Tuntasnya, jurusan ini menyediakan golongan muda dengan pengetahuan asas yang baik, berkemahiran dan dapat menyesuaikan diri dengan cabaran melalui pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat.
Kursus teras yang dipelajari merangkumi semua aspek dalam bidang akuakultur termasuk Prinsip Akuakultur, Kaedah Pengeluaran Ikan, Pengurusan Air, Kesihatan Akuakultur, Nutrisi Akuakultur, Teknologi Lepas Tuai, Inovasi Akuakultur, Akreditasi Akuakultur dan Amalan Akuakultur.
Kursus elektif yang ditawarkan pula merangkumi beberapa aspek penting dalam kaedah pengeluaran ikan seperti Kultur Ikan Hiasan, Kultur Rumpai Laut, Kultur Invertebrata untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar.
Graduan Diploma Akuakultur mempunyai pengetahuan saintifik, kemahiran teknikal dan sikap positif untuk menyesuaikan diri dengan peralatan teknologi terkini.
Seterusnya, ia dapat diintegrasikan dalam pelbagai disiplin bagi mengenal pasti, merumus dan menyelesaikan masalah dalam industri akuakultur.