Neraka di bumi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PERTUBUHAN Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang memetik pihak berkuasa Palestin pada 10 November 2023 melaporkan sekurang-kurangnya 10,812 rakyat Palestin, termasuk 4,412 kanak-kanak dan 2,918 wanita terkorban di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Malangnya, tragedi perang berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 70 peratus kanak-kanak dan wanita.

“Jika neraka itu di bumi, utara Gazalah tempatnya,” kata jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Jens Laerke pada taklimat akhbar mingguan di Geneva.

Seorang penggali kubur di Gaza, Saadi Baraka, 63, berkata, sepanjang pengalamannya sebagai penggali kubur, apa yang berlaku di Gaza sekarang sukar diungkapkan dan tidak pernah disaksikan sebelum ini, sehingga dia tidak lalu makan mahupun tidur.

 Beliau mengakui bahawa menggali kubur besar menjadi satu-satunya penyelesaian bagi penduduk Gaza yang berdepan peningkatan jumlah kematian akibat serangan Israel sejak lebih sebulan lalu.

“Semalam, saya mengebumikan hampir 600 jenazah, lebih banyak daripada yang saya kebumikan dalam tempoh lima tahun lalu.

“Saya tidak pernah melihat kekejaman sebegitu dahsyat.

Majoriti yang saya kebumikan ialah wanita dan kanak-kanak,” beliau dipetik berkata.

Baraka berkata, setiap kubur bersaiz kira-kira enam meter dan 45 jenazah dikebumikan di dalam satu liang dan kubur terbesar menempatkan 137 jenazah.

Dapat dibayangkan bagaimana perasaan dan emosi penggali kubur itu menyaksikan sekian banyak mereka yang tidak berdosa terkorban.

Hakikatnya, selama sebulan lebih bermula pada 7 Oktober lalu, serangan udara Israel terhadap Gaza yang terus-menerus telah mengorbankan ribuan orang, serta menyebabkan kerosakan parah di Gaza.

Setakat 6 November, lebih daripada 25,000 rakyat Palestin cedera, manakala di pihak Israel sebanyak 5,400 orang cedera. 

Jumlah kematian di pihak Palestin pula lebih 10,000 manakala di pihak Israel 1,400. 

Angka ini sentiasa berubah-ubah dan perlu disemak silang bergantung kepada media yang melaporkannya.

Namun, rata-rata seorang kanak-kanak terkorban setiap 10 minit. Empat daripada 10 yang terkorban ialah kanak-kanak.

Sekitar 2,200 orang dilaporkan hilang di Gaza, termasuk 1,270 kanakkanak.

Kebanyakan yang terkorban itu dilaporkan kerana tertimbus runtuhan.

Serangan Hamas pada 7 Oktober telah menyebabkan jumlah tahanan meningkat. Siapa itu Hamas?

Hamas ialah pejuang atau kelompok Palestin yang menguasai Jalur Gaza.

Ia merupakan akronim bagi Harakat al-Muqawama al-Islamiya atau ‘Gerakan Perlawanan Islam’ yang bermaksud “semangat” dalam bahasa Arab.

 Israel telah beberapa kali menyerang Hamas. Hamas disifatkan sebagai militan atau teroris oleh dunia Barat, tetapi sebagai pejuang atau pahlawan oleh warga Palestin dan dunia Islam.

Palestin telah diceroboh, diserang dan dijajah oleh Israel. Justeru, mereka bangkit untuk mempertahankan diri dan mengambil balik tanah dan kawasan yang diceroboh dan dirampas

. Sebenarnya nasib malang Palestin bermula pada tahun 1948 dalam peristiwa yang kini dikenali sebagai Nakba yang dihadapi oleh penduduk di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Sejurus selepas Perang Palestin 1948, sebanyak 78 peratus kawasan Palestin Bermandat telah diisytiharkan sebagai Israel. 

Seramai 700,000 rakyat Palestin diusir dari bumi mereka, penyingkiran penduduk dan pemusnahan berlaku di 500 kampung Palestin oleh tentera Zionis.

Pengusiran yang berlaku sejak 75 tahun lalu itu disifatkan banyak pihak sebagai penghapusan etnik.  

Hari Nakba disambut pada 15 Mei setiap tahun, iaitu satu hari selepas pengisytiharan penubuhan negara Israel, dan hari berakhirnya mandat British di Palestin pada tahun 1948.

Perang 1947-1949 yang dikenali sebagai Perang Kemerdekaan Israel itu merupakan perang yang pertama dalam siri peperangan antara Israel dengan negara jiran Arab dalam konflik Arab-Israel. 

Seyogia diingatkan, pada akhir Mei 1948, sebanyak 6,000 tentera Syria, 6,000 Transjordan, 5,000 Mesir, 4,500 Iraq dan 1,000 Lubnan telah melancarkan serangan terhadap Israel yang baru lahir itu.

Namun mereka dikalahkan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah daripada wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmuqaddis Barat.

 Dalam keadaan perang seperti yang berlaku kini, tiada pihak yang untung.

Perang menyebabkan ramai yang menderita, seksa dan berdepan pelbagai kesulitan hidup termasuk berdepan masalah ketiadaan air, elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi.

Hanya yang terkorban menyaksikan berakhirnya perang manakala yang menjadi mangsa dan masih hidup, pasti tidak akan mahu perang berlaku dan berlarutan.

Novelis terkemuka, Ernest Hemingway pernah menegaskan, “Jangan sama sekali berfikir bahawa perang bukan jenayah walau bagaimana perlu sekalipun perang, atau apa-apa pun justifikasinya”.

Ya, perang memang satu jenayah! Kini warga Palestin berdepan masalah mendapat air bersih untuk minum dan keperluan asas, termasuk untuk memasak dan mencuci.

Mereka juga berdepan risiko kesihatan dan masalah kekurangan makanan.

Disebabkan pengepungan menyeluruh oleh Israel, kawasan yang dikepung itu dilukiskan sebagai penjara terbuka terbesar di dunia. Bayangkan keadaan hidup dan penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Palestin?

Sudah pasti krisis kemanusiaan akan bertambah buruk, dan pasti akan memburuk apabila bantuan kemanusiaan, termasuk makanan tidak sampai kepada mereka yang memerlukannya.

Siri peperangan melibatkan Palestin-Israel tidak akan berkesudahan selagi bumi yang menjadi hak Palestin tidak dikembalikan apatah lagi di perut bumi berkenaan dikatakan memiliki sumber minyak dan gas yang banyak.

Israel akan terus mengganas disokong oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Dunia kaki buku

ADA banyak sebab pentaasub dan penggila buku membeli buku. Seorang

Buruh paksa moden

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara

Lain-lain

Pimpinlah tanganku

BAGI anda kepimpinan itu seperti apa? Saya menganggap ia tanggungjawab