NGO perlu terus proaktif dampingi masyarakat

SARIKEI: Pertubuhan sukarela dan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan lebih proaktif menganjurkan program dengan melibatkan penyertaan segenap lapisan masyarakat.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sebagai sebuah pertubuhan, mereka perlu memperkasakan masyarakat dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial.

Pada masa yang sama katanya, NGO juga berperanan penting sebagai platfotm untuk mengeratkan perpaduan dan menarik penyertaan golongan muda bagi mengelak mereka terjebak aktiviti tidak sihat.

“NGO seperti kelab Rotary Sarikei memainkan peranan aktif dalam memastikan hubungan antara kaum kekal harmoni dengan memperbanyakkan aktiviti kemasyarakatan dari semasa ke semasa.

“Saya harap pertubuhan ini membantu menyampaikan hasrat kerajaan melalui program yang mereka anjurkan. Dalam pada itu, mereka juga perlu bijak menganjurkan aktiviti di samping menyumbang idea demi kebaikan bersama,”katanya pada majlis jamuan makan malam Kelab Rotary di Dewan SMK Tinggi Sarikei, malam tadi.

Huang mengabadikan kenangan bersama ahli Rotary yang hadir pada majlis itu.

Beliau berkata, selain proaktif menganjurkan program, NGO juga perlu menggembelingkan tenaga membantu kerajaan untuk membangunkan masyarakat khususnya golongan muda.

Katanya, mereka juga harus merangka pelbagai inisiatif melalui program turun padang dan bergerak dengan lebih aktif bagi memenuhi keperluan dan harapan kumpulan sasar.

Ujarnya, pembabitan NGO adalah diperlukan sebagai rakan strategik kerajaan yang berfungsi penting melaksanakan program komuniti di peringkat akar umbi.

“Mana-mana program dan aktiviti yang diadakan adalah bertujuan merapatkan silaturahim antara kaum tidak mengenal agama dan warna kulit.Kita mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi mencapai matlamat kerajaan membantu rakyat,” katanya.

Jamuan turut meraikan pelantikan Momoko Ling Siew Ping sebagai presiden baharu kelab berkenaan bagi sesi 2019 hingga 2020 mengantikan Chieng Tiong Tong.

Sehubungan itu Huang berkata, Chieng memberikan sumbangan besar terhadap kejayaan kelab Rotary Sarikei dan berharap pencapaian cemerlang itu diteruskan di bawah kepimpinan presiden yang baharu.

Jamuan turut dihadiri ahli Rotary Brunei Darussalam, Singapura, Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli kelab dari Singapura, Brunei, Sabah dan Semenanjung Malaysia.