Niat mesti betul sebaik bergelar ahli politik

KUCHING: Jadilah seorang ahli politik profesional, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah apabila disoal tentang isu penularan video aksi seks Haziq Abdullah Abdul Aziz baru-baru ini.

Menurutnya, jika seseorang mahu menjadi ahli politik mereka perlu meletakkan niat yang baik untuk memulakan kerjaya.

“Mereka perlu menjalankan kerja sebaik mungkin kerana rakyat menilai ahli politik melalui kerja dan apa yang lakukan.

“Dalam politik, ada proses tertentu perlu kita ikut jika mahu berjaya bukan dengan melakukan perbuatan tidak baik seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian Blessing Care Centre di sini, semalam.

Beliau menyatakan, biar proses undang-undang terhadap kes tersebut.

“Seorang ahli politik yang mahu meningkat baik dalam kerjaya perlu mempunyai kebolehan, keupayaan dan disokong oleh rakyat.

Sebelum ini, Haziq Aziz menjadi popular selepas sebuah video seks sejenis bersama seorang menteri kanan kabinet tular.

Bagaimanapun, melalui perbualan telefon dengan Ketua PKR Cabang Santubong, Ahmad Nazib Johari Haziq menafikan perkara tersebut.