ARTIKEL

Nikmat harus disyukuri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SELASA lepas umat Islam mula berpuasa.

Nikmat ini wajib disyukuri kerana kita terpilih untuk berada dalam bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.

Ramadan datang dengan ruang cukup besar bagi umat Islam melakukan ibadat sama ada wajib atau sunat. Masjid dan surau akan penuh dikunjungi umat Islam bagi menunaikan solat sunat tarawih.

Kemudian disambung pula dengan tadarus al-Quran secara berkumpulan dan ada yang menghidupkan malam dengan qiamullail.

Suasana pada awal Ramadan biasanya berlaku di semua tempat.

Ketika menyaksikan umat Islam ramai memenuhi rumah Allah SWT untuk menunaikan ibadat, kita merasai kebenaran ayat Allah SWT yang menyatakan Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi-Nya.

Allah SWT menyempurnakan Islam dengan ketetapan terkandung dalam al-Quran serta ditambah dengan huraian hadis daripada Rasulullah SAW.

Sebab itulah Islam menjadi tinggi kerana umatnya mengutamakan agama daripada urusan dunia.

Segala-galanya dapat disaksikan pada awal Ramadan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah alMa’idah, ayat 3) Ramadan berlangsung selama sebulan.

Biasanya fenomena masjid dan surau dipenuhi jemaah hanya pada awal puasa.

Baca lain  Menghimpun pahala di Makkah

Menjelang akhir Ramadan, kebanyakan tempat berlaku penyusutan bilangan jemaah yang sangat ketara.

Mungkin pada awal Ramadan ini kita perlu bincang faktor berlakunya fenomena sedemikian.

Tujuannya supaya ia menjadi ingatan untuk diri manusia yang sememangnya bersikap pelupa.

Selain itu, ia juga bertepatan dengan peringatan Allah SWT berkenaan masa yang ramai manusia tergolong dalam kalangan orang rugi.

Pesanan dan peringatan perlu diberikan supaya kita terselamat daripada menjadi orang yang rugi.

Antara sebab ramai umat Islam tidak istiqamah melakukan ibadat seperti berlaku pada awal Ramadan adalah kerana diri tidak beramal berlandaskan ilmu yang benar.

Budaya ikut-ikutan dalam beribadat perlu dihindari.

Sebaliknya, ibadat perlu dilakukan atas dasar ilmu.

Ilmu pula mesti bersumberkan dalil sahih, bukan yang palsu.

Terlalu banyak dalil membuktikan Ramadan dipenuhi dengan keberkatan.

Apatah lagi penghujung Ramadan disediakan satu malam amat istimewa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jika umat Islam memahami panduan ini, tidak mungkin mereka gagal melawan nafsu untuk terus istiqamah menghidupkan hari-hari dalam Ramadan dengan amalan yang dianjurkan Islam.

Faktor lain yang mungkin menyebabkan umat Islam tidak istiqamah memperbanyakkan amalan seperti berlaku pada awal Ramadan disebabkan faktor sekeliling yang tidak menyokong.

Baca lain  Penyokong dahagakan trofi

Orang ramai rata-rata semakin aktif membuat persiapan hari raya.

Lagu raya mula berkumandang, promosi hebat barangan ditawarkan di pusat beli- belah, maka topik perbualan harian juga bertukar fokus kepada hari raya.

Hal itulah yang membuatkan ramai terleka sehingga tidak berasa rugi apabila tidak ke masjid untuk menunaikan ibadat.

Malah, ada yang sanggup mengatakan: “Tak mengapa tidak ke masjid, tarawih itu sunat sahaja,”. Ingatlah, Ramadan berserta segala tuntutannya terutama puasa dapat menjadi sebab diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni segala dosanya yang telah lalu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Faktor berkaitan keimanan terhadap perkara yang menjadi rahsia Allah SWT juga tidak dinafikan mempengaruhi tahap istiqamah seseorang hamba melakukan ibadat.

Memang manusia tidak diperlihatkan melalui mata kasar tentang pahala.

Itu antara ujian yang perlu didepani setiap Muslim.

Mereka tidak nampak pahala, namun percayalah ia adalah sesuatu yang benar.

Setiap amalan baik yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT pasti akan beroleh ganjaran pahala.

Baca lain  Cabaran Internet ke luar bandar

Orang yang menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa akan mendapat pahala seperti mana pahala diterima oleh orang berpuasa tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang berpuasa itu.

“Sesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Malah, istimewanya ganjaran orang yang berpuasa dalam Ramadan apabila Allah SWT yang memberi ganjaran kepada hambaNya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Semua amal bani Adam (manusia) akan digandakan kebaikan sepuluh kali sampai tujuh ratus kali ganda.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, kecuali puasa, maka ia untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan pahalanya.”

(Hadis riwayat Muslim) Justeru, beribadatlah kepada Allah SWT sepanjang Ramadan tanpa merosot prestasinya.

Buatlah amalan bersandarkan ilmu yang benar, usah teruja dengan hari raya selagi belum tiba masanya.

Alangkah indah jika amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadan dan diteruskan pada bulan-bulan lain.

Sebenanya dalam diri kita semua ada sikap mulia namun ia selalunya hanya diterjemahkan pada Ramadan.

Jika kita ingin melakukan amal, biarlah berterusan sepanjang masa untuk memastikan kita dapat membantu lebih ramai orang mengikut kemampuan masingmasing.

BERITA LAIN

Langit terbuka

MELETUSNYA Semeru di Jawa Timur dua hari lepas melimpahkan lahar sejuk di persekitaran, membawa hujan dan banjir sekitar Lembangan Sungai Regoyo. Pemindahan melibatkan 32 keluarga sekadar

Kenangan raya terkurung, terkejut

JIKA ditanya mengenai tempoh paling menyeronokkan menyambut Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti kebanyakan kita akan memilih zaman kanak-kanak. Apa tidaknya, ketika itu kita tidak perlu

Raya terakhir kami?

SEMALAM ibu sahabat saya pergi di depan mata. Saya di sana, saya melihat bagaimana anaknya cuba menyelamatkan ibu mereka hingga ke titik terakhir. Namun, apabila

Obesiti selepas raya

PASTI ada yang kembali buncit pada hari raya kesembilan (hari ini), malah ada yang lebih besar kebuncitannya. Ia berpunca daripada pengambilan makanan berlebihan sejak raya

Jangka hayat, kematian semakin dekat

ADAKAH anda bersedia untuk mati? Adakah anda bersedia untuk meninggalkan legasi? Sekurang-kurangnya mendidik atau mempersiapkan pengganti untuk syarikat, pertubuhan dan sebagainya, termasuk dalam urusan pentadbiran.

Rayakan sebulan

HARI ini hari ketujuh kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sik berasa, terutama bagi golongan muda. “Lom puas beraya, dah mula bersekolah.” Antara dialog yang kita

BERITA TERBARU

PDRM

Suspek kes amang seksual ditahan di Miri

SRI AMAN: Suspek lelaki dikehendaki polis yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di kawasan tanah perkuburan lama, Kampung Kubal, Betong ditahan Jumaat

Pemancing udang jumpa mayat terapung

MIRI: Sembilan pemancing udang galah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna di Sungai Kuala Baram di sini, hari ini. Ekoran itu,