Nikmati 100 peratus air, elektrik menjelang 2025

KUCHING: Agenda untuk menyediakan liputan 100 peratus bekalan elektrik dan air bersih terawat di Sarawak dijangka tercapai menjelang 2025.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak RM5 bilion dana disuntik bagi merealisasikan pembangunan kemudahan asas itu.

“Kita sekarang sibuk melaksanakan projek bekalan elektrik dan air terawat yang menumpukan kawasan luar bandar sehinggalah ke pedalaman.

“Saya berharap semua tempat dilengkapi kemudahan ini menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Marhaban Perdana 2020 dan Kenduri Rakyat anjuran Persatuan Berzanji Negeri Sarawak (PBNS) di Dewan Suarah Samarahan di sini, semalam.

Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.3 bilion bagi tahun 2019 dan 2020 untuk mempertingkatkan liputan bekalan elektrik di luar bandar.

Sebanyak RM2.8 bilion lagi diperuntukkan bagi program Grid Bekalan Air Sarawak Fasa Pertama.

Ia untuk pelaksanaan projekprojek membabitkan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik, penukaran paip, serta inisiatif pemodenan dan bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (Sawas).

Sebanyak 322 projek bekalan air kini di peringkat pelaksanaan di seluruh Sarawak dan kesemuanya dijangka siap menjelang tahun hadapan.