KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat sebanyak 14.7 peratus kepada RM134.3 bilion pada Februari 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tersebut disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mengatasi subsektor lain dengan menokok sebanyak RM9.4 bilion atau 19.2 peratus kepada RM58.2 bilion manakala perdagangan borong meningkat 5.9 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM59.1 bilion.
“Subsektor perdagangan runcit yang meningkat 19.2 peratus itu disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 21.1 peratus atau RM3.9 bilion kepada RM22.1 bilion,” katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia Februari 2023.
Kumpulan lain dalam subsektor itu yang turut mencatat pertumbuhan positif adalah jualan runcit di kedai pengkhususan pada 24.2 peratus; jualan runcit bahan api kenderaan 45.9 peratus; jualan runcit makanan, minuman dan tembakau 18.4 peratus; jualan runcit barangan isi rumah 7.5 peratus; jualan runcit peralatan komunikasi dan maklumat 8.0 peratus; jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar 14.0 peratus dan jualan runcit di gerai serta pasar 21.0 peratus.
Menurutnya, kenaikan 5.9 peratus perdagangan borong itu disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat sebanyak RM1.7 bilion atau 15.8 peratus kepada RM12.5 bilion.
Ini diikuti pula oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau 9.9 peratus; jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (10.0 peratus) dan jualan borong bukan pengkhususan 6.1 peratus.
Sebaliknya, Mohd Uzir berkata sebagai perbandingan bulanan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit turun -0.6 peratus berikutan subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit yang masing-masing susut -2.0 peratus dan -2.4 peratus.
Dari segi indeks volum, beliau berkata perdagangan borong dan runcit pada Februari 2023 mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.6 peratus.
“Pengembangan itu disumbangkan oleh kenderaan bermotor yang meningkat 24.0 peratus manakala perdagangan runcit dan perdagangan borong turut merekodkan pertumbuhan positif dengan peningkatan masing-masing 13.9 peratus dan 3.4 peratus,” katanya. – Bernama