Nilai murni dan jati diri perlu dalam pendidikan awal kanak-kanak

BINTULU: Penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan jati diri akhlak antara elemen penting yang perlu diterapkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di peringkat pendidikan awal kanak-kanak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata elemen tersebut penting ke arah melahirkan modal insan berkualiti di masa depan.

Menurut beliau, dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses berterusan yang berkembang serentak bagi membentuk jati diri seawal usia.

Katanya lagi, setiap sesuatu yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah satu pendidikan baginya.

Ini kerana, kanak-kanak di peringkat awal umur tidak dapat membezakan antara perkara yang baik dan buruk, ujarnya ketika merasmikan penutupan Hari Kanak- Kanak Pewaris Pertiwiku Peringkat Negeri Sarawak 2019 bertempat di Bintulu Commerce Square, di sini petang tadi.

Beliau, dalam pada itu, berkata tugas dan tanggungjawab mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab bersama membabitkan ibubapa dan guru.

Justeru, katanya, ibubapa tidak boleh menyerahkan tugas dan tanggungjawab endidik(anak-anak) kepada pihak guru.

Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama dan penggemblengan usaha dan tenaga kedua-dua pihak.