ARTIKEL

Malcolm (tiga kanan) melancarkan Filem Gawai Petronas 2024. Turut kelihatan Siti Azlina (dua kiri).

Nilai-nilai murni nenek moyang dalam masyarakat Iban diangkat filem pendek ‘Pesan Inik’ PETRONAS sempena Gawai Dayak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Walau zaman bersilih ganti, kemajuan akan terus dikecapi apabila masyarakat berpegang teguh pada nilai-nilai murni daripada kata-kata mutiara pesanan nenek moyang.

Itulah warisan berharga masyarakat Iban yang diangkat oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sempena perayaan Gawai Dayak pada tahun ini.

Inspirasi yang mengingatkan generasi muda untuk terus menjunjung adat dan akhlak nilai murni itu dikongsikan dalam sebuah filem pendek berjudul ‘Pesan Inik’ atau bermaksud pesan nenek.

Dilancarkan semalam, filem berdurasi empat minit dan enam saat tersebut mengetengahkan lima kata-kata mutiara kebijaksanaan seorang nenek yang berfungsi sebagai pegangan hidup masyarakat Iban.

Ia mengingatkan komuniti terbesar di Sarawak itu untuk terus merapatkan hubungan persaudaraan, meraikan tetamu, mewarisi sifat pahlawan, mengekalkan adat tradisi serta menjadikan masakan sebagai pengikat hati keluarga.

Menurut Pengurus Besar Kanan Kumpulan Perhubungan Strategik dan Komunikasi PETRONAS, Siti Azlina Abdul Latif, pihaknya mengambil pendekatan unik dengan menampilkan puisi yang dikenali sebagai ‘Leka Main’ dan dipersembahkan sepenuhnya dalam bahasa Iban dalam filem berkenaan.

“Kebijaksanaan nenek yang terkandung dalam lima kata-kata mutiara ini, menjadi simbolik kepada adat dan nilai moral kaum tersebut, sekali gus berfungsi sebagai pelita hidup bagi generasi muda.

Suasana meriah pada sambutan Gawai Dayak dirakam dalam filem pendek berjudul ‘Pesan Inik’.

“Keindahan yang menggalakkan kaum ini untuk mempertahankan warisan mereka dalam menghadapi arus kemodenan.

“Ia menjadikan pesan nenek benar-benar istimewa dan kami berbangga memperkenalkannya melalui filem Gawai terbaharu ini untuk kita bersama meraikan budaya, tradisi dan semangat berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Filem Gawai PETRONAS 2024 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, di Cove 55, Santubong di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, ujarnya, filem tersebut mengambil pendekatan inovatif dalam menggabungkan elemen moden dengan unsur-unsur tradisi seperti puisi kaum Iban, dan permainan tradisional yang hampir pupus dikenali sebagai ‘batak lampung’.

“Malah kata-kata hikmah ini mengingatkan kita tentang pelbagai kemajuan yang dicapai sepanjang lima dekad, dan menjadikannya sebagai inspirasi untuk meneruskan legasi dalam menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran negara.

“Diharap agar tradisi sastera ini akan terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, pengarah filem itu, Faizul Jais, ketika ditemui, menjelaskan filem yang dirakam di sebuah rumah panjang moden, Rumah Panjang Thomas Sigat di Saratok itu, dibarisi pelakon tempatan Sarawak.

“Hanya dua watak utama iaitu ibu dan anak lelakinya, Tawi dan Onang, adalah pelakon. Yang lain adalah penduduk rumah panjang itu sendiri.

“Inilah keunikan filem tersebut kerana menampilkan lebih 200 penduduk tempatan yang bukan pelakon profesional, mereka berjaya menunjukkan realiti keindahan perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum di Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, filem yang menjalankan penggambaran pada 6 dan 7 April itu turut mempamerkan suasana sebenar sambutan Gawai Dayak yang bukan hanya mempamerkan makanan, budaya dan tradisi, tetapi juga keseluruhannya yang menyerlahkan nilai perpaduan.

Barisan pelakon serta krew yang menjayakan filem pendek berjudul ‘Pesan Inik’.

Filem pendek ‘Pesan Inik’ boleh ditonton di Facebook rasmi atau YouTube PETRONAS di pautan https://youtu.be/ZaGnvhgjWC0?si=Ob78Z9pIMzE6znlF

BERITA LAIN

Didik anak-anak untuk elak gangguan seksual, rogol

KUCHING: Agensi kerajaan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bekerjasama dalam memberi didikan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat kepada kanak-kanak dalam usaha meningkatkan kesedaran akan

Perlindungan kanak-kanak diperketat

PETRA JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses meminda Akta Kanak-Kanak 2001, bagi memperketatkan lagi perlindungan terhadap kanak-kanak. Menterinya, Datuk Seri Nancy

Ujian Hidup Bella Astillah

PELAKON Bella Astillah baru-baru ini meluahkan rasa kesal selepas perceraian keduanya dengan penyanyi Aliff Aziz. Perceraian ini berlaku di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, menjadi

Hayati falsafah korban

HARI ini 10 Zulhijah 1445 Hijrah, umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Ia sangat sinonim dengan ibadah

BERITA TERBARU

Didik anak-anak untuk elak gangguan seksual, rogol

KUCHING: Agensi kerajaan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bekerjasama dalam memberi didikan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat kepada kanak-kanak dalam usaha meningkatkan kesedaran akan