KUCHING: Nilai perdagangan di Sarawak pada dua bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia mengalami peningkatan meskipun terdapat risiko berlakunya kemerosotan ekonomi global yang dijangka memberi kesan kepada nilai eksport di negeri ini.
Bagi perdagangan keseluruhan di Sarawak tahun lalu, beliau berkata, ia telah meningkat daripada RM150.9 bilion pada 2021 kepada RM217.2 bilion pada 2022 bersamaan peningkatan sebanyak 44.0 peratus.
“Peningkatan ini didorong oleh harga komoditi yang tinggi dan permintaan lebih tinggi menjadikan nilai eksport meningkat sebanyak 50 peratus.
“Pada masa yang sama, nilai import turut meningkat sebanyak 31.3 peratus sejajar dengan pemulihan perniagaan dan industri secara keseluruhan. Permintaan dijangka akan tetap menguntungkan pada tahun ini,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan Dan Ekonomi Baru di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu Uggah yang juga Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baru Kedua menambah, penggunaan persendirian dijangka akan berkembang tahun ini dalam perbelanjaan isi rumah dan peningkatan dalam pasaran buruh.