Nilai UPSR, PT3 berdasarkan kecerdasan

KUCHING: Pencapaian murid sekolah pada usia 12 dan 15 tahun sebenarnya lebih sesuai dinilai berdasarkan kepada pencapaian kecerdasan pelbagai menerusi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) berbanding peperiksaan yang hanya fokus aspek akademik.

Pensyarah Cemerlang Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL) Dr. Abang Ismail Abang Julhi (gambar) memberitahu, UPSR mahupun PT3 hanya merupakan satu pentaksiran untuk menilai kemajuan murid dari segi pencapaian akademik.

Bagaimanapun katanya, guru-guru diyakini mempunyai pendekatan sendiri untuk menilai pencapaian murid berdasarkan pelbagai aspek.

“Misalnya kita lihat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan pada 2011 tetap diteruskan agar kemajuan murid dapat diukur berdasarkan pencapaian dan perkembangannya.

“Malah selepas itu dijenamakan semula menjadi PBD pada 2018 khusus untuk murid Tahap Satu. Dan, ia sudah mula dilaksanakan oleh warga pendidik bagi melihat perkembangan psikomotor, kognitif dan efektif yang digunakan di sekolah masa kini.

“Justeru, berdasarkan umur dalam lingkungan 12 tahun, mereka kurang sesuai didedahkan dengan peperiksaan kerana tahap perkembangannya pada peringkat ini lebih sesuai diukur melalui pencapaian kecerdasan pelbagai,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, kecerdasan ini boleh dilihat melalui aspek kinestatik, hubungan antara manusia, muzik, logik matematik, linguistik, natural dengan visual ruang. “Ia secara langsung akan melahirkan murid yang menguasai kemahiran 6C iaitu komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritikal, kreatif, berpewatakan, dan semangat kewarganegaraan.

“Sementara pelajar berusia 15 tahun (PT3) turut dianggap berada pada peringkat awal untuk mencapai kematangan. “Ketika ini, mereka baru mengenal dan menilai baik atau buruk sesuatu aspek. “Maka, lebih sesuai sekiranya peperiksaan awam di sekolah difokuskan kepada pelajar berusia 16 tahun ke atas.

“Ini kerana mereka sudah mencapai tahap kematangan berdasarkan Teori Perkembangan Kognitif oleh Jean Piaget, 1896. “SPM merupakan peperiksaan yang cukup penting untuk menentukan hala tuju pendidikan dan masa depan anakanak,” ujarnya.

Sebab itu tambahnya, kerajaan wajar meneruskan SPM dan STPM bagi kelangsungan pendidikan masa hadapan. Menurut Abang Ismail lagi, bagi tujuan PdP, untuk memastikan persediaan anakanak berhadapan peperiksaan itu tahun hadapan, guru boleh menggunakan pelbagai platform digital agar kurikulum akademik dapat dilestarikan.

Ini sekali gus tidak menyebabkan murid ketinggalan topik dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) misalnya menerusi Facebook, Google Classroom, Schoology dan sebagainya.

Beliau menyifatkan pembatalan peperiksaan awam seperti UPSR dan PT3 tahun ini merupakan satu tindakan sangat bijak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani penularan pandemik Covid-19.