Noor Shasila kaut rezeki PKP

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Ramadan tidak menghalang peniaga serunding untuk meneruskan perniagaannya tahun ini.

Pengusaha Serunding Daging Utara Noor Shasila Mohamad Faisal berkata, perniagaan serunding sudah diusahakan bermula pada 2014, setiap kali menjelang Ramadan.

“PKP? Ia bukan halangan langsung kerana saya tetap meneruskan perniagaan walaupun pada mulanya saya berasa kurang yakin.

“Bagaimanapun, ketika penghantaran kepada pelanggan saya akan menjawab dengan jujur kepada pihak berkuasa.

“Alhamdulillah tiada masalah setakat ini, selagi kita tidak ingkar arahan PKP,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya, Serunding Daging Utara itu hanya perniagaan sambilan yang dijalankan ketika menjelang Ramadan.

“Saya sebenarnya menjalankan perniagaan kedai makan seperti nasi dan lauk-pauk (makanan bajet) dan saya juga membuat jeruk sawi Muslim.

Semuanya saya buat sendiri.

“Disebabkan musim Covid-19 kini, saya terpaksa berhenti operasi dan harga sayur sawi juga melonjak naik. Oleh itu, saya memberi fokus kepada perniagaan serunding,” katanya.

Noor mendedahkan bahawa, resipi itu merupakan resipi asli dari utara dan dipelajari daripada ibu mentua.

“Serunding ini juga saya jalankan bersama-sama dengan suami. Dia berasal dari Semenanjung dan merupakan pesara tentera,” jelasnya.

Wanita berusia 34 tahun ini menceritakan perkhidmatan penghantaran untuk produknya yang disediakan untuk kawasan Petra Jaya sahaja seperti di Satok, Matang, Bandar Baru Samariang, Demak dan lain-lain.

“Untuk bayaran penghantaran di Bintawa adalah percuma, Astana dan Taman Sukma (RM3) Mydin Petra Jaya (RM2), Mydin Bandar Baru Samariang, Satok dan Matang Mall (RM4).

“Setakat ini, saya masih belum membuat penghantaran ke kawasan Tabuan dan Kota Samarahan kerana tidak mahu melanggar arahan PKP yang sedang dikuatkuasakan,” ujarnya.

Dari segi promosi, dia menyatakan terdapat dua hingga tiga ejen yang membantu mempromosikan serunding jualannya.

“Promosi saya biasanya melalui atas talian seperti kumpulan WhatsApp, Facebook termasuk promosi dari mulut ke mulut antara pelanggan,” katanya.

Dari segi harga pula, ia bermula serendah RM10 hingga mencecah RM80 mengikut berat masing masing.

“Untuk berat 1 kg, ia berharga RM80, 500g RM40, 250g RM20 dan 125g RM10, manakala paling mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan adalah serunding 500g,” jelasnya.

Noor menasihati peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihatan makanan dan diri sendiri lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan penularan wabak Covid19 kini.

“Sentiasa bawa sanitasi tangan, menggunakan topeng muka ketika menjalankan perkhidmatan penghantaran serunding kepada pelanggan.

“Apa yang penting adalah merancang perjalanan dengan betul seperti saya sendiri.

“Pada sebelah pagi saya akan hantar kepada lima hingga enam pelanggan dan mengambil masa dua hingga tiga jam sahaja selepas itu saya akan terus balik ke rumah,” katanya lagi.