KUALA LUMPUR: Cahya Mata Sarawak Bhd mengumumkan Norges Bank, bank pusat dan pengurus dana kekayaan negara Norway dengan rasminya sebagai pemegang saham utama dalam syarikat itu.
Dalam kenyataannya, Cahya Mata berkata bank pusat itu membeli 54.05 juta saham yang mewakili 5.03 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan.
“Misi Norges Bank adalah menggalakkan kestabilan ekonomi dan menguruskan aset penting bagi rakyat Norway.
“Sebagai sebahagian daripada strategi pelaburannya bagi Dana Pencen Kerajaan, Norges Bank berusaha untuk mengoptimumkan pulangan dalam kerangka mandat pelaburannya,” katanya.
Cahya Mata adalah konglomerat kukuh berpangkalan di Sarawak yang mempunyai kepentingan perniagaan pelbagai antaranya simen, pembuatan fosfat, perkakas minyak, penyelenggaraan jalan, pembangunan hartanah, perkhidmatan kewangan dan infrastruktur telekomunikasi.
Kumpulan itu berkembang kepada arena ekonomi kitaran baru-baru ini berikutan pembelian Cahya Mata Alam Sdn Bhd, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan serta kilang pembuatan bahan ekokomposit. -Bernama