Norma baharu bukan penghalang sambut Gawai dalam suasana harmoni – Huang

SARIKEI: Keperluan rakyat termasuk kemudahan infrastrukur rumah panjang di kawasan N.45 Repok terus menjadi agenda utama kerajaan.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menegaskan, perkara itu tetap diberi perhatian malah menjadi sebahagian agenda utamanya sejak bergelar wakil rakyat.

Menurutnya, pendekatan itu sejajar dengan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan keperluan rakyat Sarawak termasuk mereka di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat turut mengambil kira kepentingan dan manfaatnya untuk semua pihak.

“Pelaksanaan projek berimpak tinggi di DUN Repok merupakan bukti jelas kerajaan menjaga kepentingan rakyat. Terima kasih Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana mengambil berat tentang perkara ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Gawai 2020.

Sehubungan itu, beliau mengakui dana yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak banyak membantu rakyat dan pembangunan kawasannya.

Justeru katanya, bukti keprihatinan kerajaan GPS tidak akan terhenti di sini sahaja. Sebaliknya akan ada lebih banyak projek lain menyusul selepas ini khusus untuk rakyat di DUN Repok.

“Sudah pasti, usaha Kerajaan GPS tidak hanya tertumpu kepada soal pembangunan infrastruktur tetapi merangkumi segenap sudut termasuk kebajikan, ekonomi dan sosial.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar terus menyokong Abang Jo dan GPS demi menjaga kepentingan kita bersama seperti slogan Utamakan Sarawak GPS,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap sambutan Hari Gawai terus menjadi platform mengeratkan hubungan antara kaum.

“Sambutan Hari Gawai tahun ini diraikan dalam norma baharu kerana perjuangan kita menentang penularan pandemik Covid-19 belum selesai.

“Saya berharap situasi itu bukan penghalang kepada kita untuk meraikannya dalam suasana aman dan harmoni. Untuk itu, kepada seluruh masyarakat Dayak, saya ingin mengucapkan selamat Hari Gawai,” katanya.

Sementara itu, Huang berkesempatan menyerahkan bantuan Hari Gawai Dayak kepada penduduk rumah panjang di kawasan Repok.

Suara Sarawak