Norma baharu pengusaha bot nelayan

TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Manis menyampaikan sumbangan alat perlindungan diri (PPE) kepada Ketua Bot Pengawal 22 dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Majlis yang berlangsung di Terminal Penumpang Tanjung Manis itu disempurnakan Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim, Mohd Ariz Md Kassim.

Sehubungan itu Mohd Ariz berkata, penyerahan sumbangan bertujuan membekalkan peralatan pelindungan diri kepada setiap petugas barisan hadapan dalam usaha membantu kerajaan memerangi dan memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti maritim.

“Kita menitikberatkan norma baharu dengan mengikut garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menggesa setiap pengusaha vesel atau bot nelayan agar dibekalkan pelitup muka dan pembasmi kuman dengan menjadikannya sebagai amalan kebiasaan dalam kalangan setiap kru.

Katanya, usaha juga akan dilakukan secara berterusan agar setiap pegawai yang bertugas di lapangan.

Langkah itu katanya bertujuan memastikan memastikan setiap pemeriksaan yang dilakukan ke atas bot nelayan dibuat mengikut prosedur yang betul.

“Ujian saringan suhu juga amat penting agar mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat serta bebas daripada wabak Covid-19 sepanjang pelayaran di laut,” jelasnya.

Suara Sarawak