KESUSAHAN hidup sejak kecil, mencetus inspirasi buat anak jati Kampung Bungey, Debak ini mengorak langkah berani menjadi salah seorang pengusaha kuih tradisional yang semakin hilang dalam kalangan generasi baharu.
Malah, usia juga bukan pengukur bagi menentukan kemampuan seseorang untuk hidup mewah.
Meskipun baru berusia 27 tahun, pengasas ‘Kuih Sepit Legend Debak’ Normadhia Ahmad kini memiliki dua cawangan premis menjual kuih-kuih lama bertempat di Debak dan Kuching.

“Membesar dengan hasil rezeki berniaga kuih sepit dan kuih-kuih lama juga menjadi pendorong utama buat saya untuk meneruskan perniagaan berasaskan produk warisan yang masih mendapat perhatian hingga kini,”katanya kepada Suara Sarawak.
Bertitik tolak dari situ, Normadhia tekad meneruskan warisan ibunya, Satiah Jabar yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam mengusahakan kuih lejen dengan mengekalkan kaedah tradisional.
Jenama laris
Untuk pengetahuan, kedai ‘Kuih Sepit Legend Debak’ yang bertempat di Hopoh sudah beroperasi sejak dua bulan yang lalu manakala cawangan kedainya di Debak pula dibuka sejak 27 September 2021.
Normadhia menggunakan nama ‘kuih sepit’ untuk jenama perniagaannya kerana kuih tersebut adalah antara kuih yang paling istimewa dan laris sejak dahulu lagi.
Selain kuih sepit, Normadhia turut menjual kuih lidah buaya, ketop, rempeyek, cap, baulu, maruku, peneram, koyong, jala dan sebagainya dengan harga yang sangat berpatutan dan mampu milik serendah RM10 hingga RM18 untuk satu balang.
Yang membanggakan, anak kelapan daripada 11 adik beradik ini, mampu mengusahakan sendiri dengan dua cawangan kedai dengan kos permulaan RM30,000 untuk setiap premisnya tanpa bantuan orang lain.
Menurut Normadhia, dia lahir dalam keluarga yang besar iaitu tiga adik perempuan dan lapan adik lelaki menyebabkan dirinya terbiasa mencari duit poket sendiri sejak di bangku sekolah.
Mahu berkongsi rezeki, Normadhia turut menyediakan perkhidmatan vendor kepada usahawan tempatan namun bergantung pada kekosongan.
Antara produk vendor yang ada di premisnya ialah produk berasaskan biskut dan pelbagai jenis kacang.
Pelajar jurusan Rangkaian Teknologi Maklumat di Politeknik Mukah ini juga mengakui platform digital memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan hasil jualan dan mampu melebarkan rangkaian perniagaan lebih jauh lagi.

“Memandangkan ramai orang yang tidak tahu lokasi Debak, jadi saya gunakan platform media sosial untuk memasarkan produk. Sejak dari situlah saya mempunyai pemborong tetap dari Sibu, Bintulu, Kuching, Semenanjung, Sabah dan banyak lagi,”ujarnya kepada pemberita.
Selain berniaga kuih tradisional, Normadhia juga merupakan jurusolek.
Namun disebabkan jadual kerja agak padat menjelang ramadan, fokus diberikan terlebih dahulu terhadap tempahan kuih raya pelanggan.
Bagi peminat kuih-kuih lama, kedai ‘Kuih Sepit Legend Debak’ pilihan terbaik kerana menjual lebih 70 jenis kuih pelbagai jenis.
Pelbagai Perisa

Menariknya, kuih sepit hadir dalam pelbagai jenis iaitu perisa asli dan pandan, berbijan atau tidak berbijan dan jenis lipat atau gulung.
“Kuih lejen sukar untuk didapati di luar, jika adapun ia tidak sama dari segi rasa kerana produk kami masih mengekalkan resipi lama menggunakan tepung lemantak, santan asli, gula apong asli dan dimasak menggunakan acuan serta dapur tradisional.
“Untuk memastikan kuih sepit mudah dilipat atau digulung ramuannya mesti cukup dan tepat terutamanya gula apong,”dedah Normadhia.
Menurut Normadhia, penglibatan golongan muda dalam pembuatan kuih tradisional juga dilihat sangat kurang dan banyak dipelopori oleh golongan berusia kerana mereka sudah terbiasa dengan pembuatan kuih yang rumit, keadaan panas dan memakan masa yang lama.
Di samping ujarnya kemahiran tangan yang laju dan cekap juga memainkan peranan penting dalam penghasilan kuih sepit bagi memastikan kuih tidak cepat kering.
Sepanjang berniaga, Normadhia berkata dia tiada masalah dari segi bekalan bahan mentah kerana Kampung Tambak Debak merupakan pembekal terbesar produk gula apong.
Mengimbau kembali pengalamannya, Normadhia sering membantu ibu membuat dan menjual pelbagai jenis kuih sejak umur 12 tahun.
Disebabkan selalu ditinggal oleh ibunya berjajak di luar, akhirnya Normadhia mahir membuat sendiri kuih-kuih lama.

Selain itu, cabaran besar dalam perniagaan bagi Normadhia ialah mengalami kekangan modal
Ini kerana terpaksa mengeluarkan sejumlah kos yang besar pada permulaan serta kekurangan ilmu pengurusan kewangan.
jelasnya, lebih 100 balang kuih terjual dalam satu hari namun dia memfokuskan belian secara borong kepada usahawan kuih tradisional yang sememangnya mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Istimewanya, menjelang perayaan, premis Normadhia menyediakan pembelian kuih lejen dalam tin dengan harga RM80 hingga RM100 setin.
Bagi memudahkan urusan operasi kedai dan kilangnya, Normadhia turut dibantu oleh lapan pekerja di cawangan kedai di Debak dan Kuching.
Malah, dia memilih Hopoh sebagai tapak berniaga disebabkan kos sewanya jauh lebih murah dan Hopoh sangat sinonim dengan

warga tempatan membeli belah menjelang perayaan.
Tidak dinafikan, perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda juga banyak membantu meningkatkan jualan serta memudahkan urusan pelanggan.
Kedai beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 9 malam, manakala kilang di Debak beroperasi setiap isnin hingga jumaat.
Pekerjanya pula terdiri daripada kalangan ahli keluarga sendiri kerana mereka juga banyak yang berkemahiran.
“Sekiranya ada golongan muda ingin memulakan perniagaan, teruskan usaha anda. Selain modal, perniagaan memerlukan ilmu supaya mampu bertahan dan kekal lama,”nasihatnya.
“Belajarlah daripada pengalaman, kerana saya sendiri puas bekerja dengan
orang, Sebut apa-apa saja pekerjaan, semua pernah dilakukannya. Sejak kecil puas hid
up susah dengan membuat dan berjual kuih untuk menampung perbelanjaan,”ujarny
a mengimbau kembali kesusahan ketika masih kanak-kanak.
Untuk maklumat lanjut atau berminat membuat tempahan, boleh terus hubungi Normadhia di talian 017-894 9117.