Pembantu pergigian maut dalam nahas jalan raya

Nostalgia hotel 486 bilik

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

INDUSTRI perhotelan merupakan antara sektor yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19, bahkan ada yang gulung tikar. Misalnya baru-baru ini, negara digemparkan dengan pengumuman penutupan Hotel Istana di ibu negara pada 1 September depan, setelah beroperasi kira-kira 29 tahun.

Hotel setinggi 23 tingkat itu antara mercu tanda popular di tengah-tengah ibu negara yang cukup gah dengan status lima bintang yang dipegangnya.

Mempunyai 486 bilik, hotel yang terletak di Jalan Raja Chulan itu dimiliki oleh Tradewinds Corp Berhad.

Ketika isu penutupan hotel berkenaan masih hangat, Suara Sarawak berkongsi kisah lama mengusik jiwa anak Sarawak berasal dari Kampung Sentosa Salim, Sibu yang menyifatkan hotel tersebut sebagai penyelamat nyawanya walaupun terpaksa membayar hampir RM800 untuk menginap dalam tempoh 15 jam.

Kisah benar yang berlaku 16 tahun lalu itu dialami penjawat awam, Kapten Azamsah Apearal dan menurutnya, tidak ramai yang mengetahui kaitan dirinya dengan hotel mewah itu.

“Apabila dengar berita pengumuman hotel tersebut hendak ditutup operasi kurang dua bulan lagi, saya juga agak terkejut.

“Jika hotel lain, saya mungkin tidak terjentik sedikit pun kerana sedia maklum ancaman pandemik banyak merosakkan sektor perhotelan di samping isu persaingan.

Nostalgia

“Namun kalau Hotel Istana… ya, saya tersenyum sendiri mengenang cerita lama.

“Bagi saya, hotel tersebut menyelamatkan saya daripada disamun dua individu kulit hitam yang mengikut setiap langkah saya, pada Mei 2005,” katanya.

Menyambung cerita katanya, pada malam itu beliau sedang berjalan-jalan di kota raya hujung minggu untuk membeli telefon bimbit dan baju setelah menerima gaji pertama.

“Seperti biasalah pertama kali datang ke tanah Malaya, di tengah-tengah kota metropolitan, saya belum pakar lagi selok-belok kawasan, jalan pun suka hati redah.

“Ketika berjalan di sekitar Bukit Bintang seorang diri, saya menyedari diekori dua lelaki berkulit hitam – ke mana-mana saya masuk, ke situ mereka ikut, lebih kurang 30 minit.

“Saya mula rasa bimbang, takut terjadi sesuatu yang buruk. Ketika itu memang sudah tidak sedap hati, dengan keadaan tidak tahu jalan, saya redah ke depan sesuka hati.

Saya terus berjalan lebih kurang 15 minit sehingga ternampak Hotel Istana.

“Tanpa membuang masa dan hanya memikirkan keselamatan diri pada masa itu, saya terus menuju ke kaunter.

“Malangnya, bilik biasa yang paling murah dalam anggaran RM400 semua telah ditempah. Mahu tidak mahu, tiada pilihan lain saya terpaksa mengambil bilik tersedia berharga lebih kurang RM788 untuk satu malam, hampir RM800!

“Tersentap juga ketika mengeluarkan duit kerana gaji pertama saya perlu habis untuk untuk membayar harga bilik di Hotel Istana.

Bagi saya, jumlah itu bukannya sedikit kerana saya baru bekerja.

“Jam 9 malam selesai daftar masuk, Alhamdulillah selamat… saya rasa lega.

“Bersyukur dan inilah momen yang tidak dapat dilupakan mengenai Hotel Istana.

Walaupun terpaksa membayar mahal tetapi saya selamat daripada disamun,” ujarnya.

Azamsah yang ketika itu bertugas di Bahagian Angkatan dan Latihan Markas Ibu Pejabat JPA3 dekat Jalan Padang Tembak mengakui selepas kejadian tersebut, beliau tidak pernah lagi pergi ke Bukit Bintang, apatah lagi menginap di hotel mahal.

“Itulah kali pertama dan terakhir saya menginap di hotel tersebut.

“Namanya agak mesra di hati saya. Ruangan bilik eksklusif yang saya duduk selama 15 jam itu memang hebat.

Rasa bahagia seolah-olah anak raja, bilik besar, ada ruang tamu dengan bilik berasingan.

Memang cukup selesa.

“Inilah pengalaman anak muda yang baharu berhijrah,” tambahnya yang ketika itu berusia 21 tahun.

Ditanya sempatkah membeli barang yang dihajatkan, pada hari berkenaan, beliau hanya menyambar baju.

“Hajat untuk membeli telefon bimbit bagaimanapun tidak kesampaian.

“Alhamdulillah bulan berikutnya pada Jun, saya berjaya melunaskan hajat untuk membeli telefon,” katanya lagi.

Beliau berharap negara akan cepat pulih daripada pandemik Covid-19 demi menyelamatkan pelbagai sektor ekonomi untuk memastikan tiada perusahaan gulung tikar.

Azamsah kini merupakan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Pekan berpangkat Kapten.

Beliau sebelum ini pernah mengemudikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Betong.

KAPTEN AZAMSAH APEARAL

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Biskut kami halal

KUCHING: “Biskut buatan tangan kami halal,” demikian kata Anchong Tan

E-Paper

27 Mac 2023

Berita Terbaru

Biskut kami halal

KUCHING: “Biskut buatan tangan kami halal,” demikian kata Anchong Tan