ARTIKEL

Nazimudin Mohamad Yusop antara peniaga Tamil Muslim yang terlama sehingga mempunyai jenama sendiri bagi jualan pakaian lelaki dan wanita serta songkok yang dijual  di premis di Lebuh India, Kuching. - Foto: Ghazali Bujang

Nostalgia Lebuh India dahulu dan kini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LEBUH India merupakan sebuah tempat yang menjadi tumpuan pelancong, sama ada dalam mahupun luar negara, sekiranya berkunjung ke Kuching.

Lokasinya yang strategik di pusat bandar raya serta berhampiran dengan Tebingan Kuching menjadikan lokasi ini sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Lebuh India turut terkenal dengan deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan, terutamanya menjelang perayaan, termasuk Hari Raya Aidilfitri, dengan harga berpatutan.

Meskipun kini banyak pusat beli-belah dibuka di Kuching, Lebuh India masih dikunjungi orang ramai sambil mengimbau nostalgia, namun suasana jauh berbeza daripada zaman sebelumnya.

Nazimudin Mohd Yusop, 74, salah seorang peniaga pakaian, menceritakan pengalaman berniaga di lokasi itu sejak 1978.

“Pelbagai perkara yang saya lalui sepanjang 46 tahun berniaga di sini. Ada yang gembira, menyedihkan dan ada juga perkara tidak dijangka.

“Saya percaya, Lebuh India ini pasti memberi pelbagai kenangan buat yang selalu berkunjung ke sini suatu ketika dahulu.

“Sekitar 15 hingga 20 tahun dahulu, lokasi ini menjadi tumpuan para ibu bapa yang membawa anak-anak mereka membeli persiapan raya di bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Beliau berkata, ketika itu kedainya penuh dengan pelanggan sehingga tidak menang tangan, tambahan pula pelanggannya datang satu keluarga beramai-ramai.

“Ketika itu, kedai saya beroperasi hingga 6 petang, namun disebabkan pelanggan tidak putus-putus, saya lanjutkan operasi hingga 8 malam,” katanya.

Namun menurut Nazimudin, kini suasana itu tidak lagi dirasai olehnya memandangkan ramai memilih untuk membeli pakaian di pusat beli-belah atau secara dalam talian.

“Pelanggan tetap ada, namun suasananya tidak semeriah dahulu.

“Ramai membeli pakaian di pusat beli-belah kerana mungkin lebih selesa, dengan adanya penyaman udara serta tempat meletak kenderaan,” katanya sambil menambah kedainya kini beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang memandangkan jumlah pengunjung tidak ramai.

Perniagaan Nazimudin yang diberi nama Syarikat Nazaazimudin tidak hanya terhad menjual pakaian sahaja, malah turut menawarkan produk seperti songkok, kain songket dan sandal dengan harga berpatutan, selain berkualiti tinggi.

Setelah 46 tahun dalam bidang perniagaan, kini beliau berjaya membuka lima cawangan kedai pakaian di sekitar Kuching.

“Saya membuka cawangan di Jalan Kulas dan tiga lagi masing-masing di Wisma Hopoh dan juga di Kompleks Islam Sarawak di Jalan P. Ramlee,” katanya mengakhiri perbualan.

BERITA LAIN

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.