
Sriwati Hj Labot asal Sri Aman, Sarawak.
Selepas bersara awal dari jawatan Setiausaha DUN, kini beliau bergiat dalam bidang perniagaan dan masih meneruskan pengajian sepanjang hayat di Kolej Pengajian Tinggi Islam Insaniah Malaysia, dalam jurusan Diploma Pengajian Islam dan Bahasa Arab.
Beliau memenangi Hadiah Sastera Negeri Sarawak 1997/98, kategori Penulis harapan.
Selain itu beliau beberapa kali memenangi peraduan menulis kategori cerpen dan puisi peringkat negeri, kebangsaan dan Asean.
Karya beliau terbit dalam lebih 40 buku antologi bersama dan dua buku kumpulan puisi persendirian.
Setakat ini lebih 100 puisi dan lebih 30 cerpen diterbitkan dalam pelbagai media masa.
Beliau ialah ahli Persatuan Putera, Pena, Penyair dan Pemuisi.
Cerita Dari Sebuah Taman
Ini taman kita
yang hasil usaha pemimpin berjiwa waja
dari era Parameswara
hinggalah ke zaman digital dan multimedia
taman ini tetap mewangi
mekar berseri
indah berpaksi rukun harmoni.
Ini taman kita, taman merdeka
taman perpaduan pelbagai bangsa
tempat muafakat menjalin usaha
ada mawar kembang sehari
ada teratai tak jejak di bumi
ada rerama penyeri mimpi
ada serindit berkepak sakti
ada empat belas sempadan negeri
rukun makmur bersatu hati
madu dan racun sama dikongsi
sambil mengusap stigma rasa
memugar rindu memugar cinta.
Marilah, kita duduk bersama
menatap bahagia menjabat sejahtera
di taman perpaduan bangsa
Malaysia selamanya.
Simanggang
Mengunyah Lelah
di Permatang Sawah
Kerana bukan cikgu atau pensyarah
akulah petani yang menanam benih-benih hati
berbakti pada bumi, pada insani
pada karya seni, pada puisi
dengan cara tersendiri.
Akulah petani si penanam sepi
si penugal mimpi, si penyiram diksi
pada kata keluh resah bangsa
berteman hati dan akal
kubawa semakna bekal.
Di permatang sawah kukunyah lelah
kuminum air mata dari seteguk cinta
penghilang dahaga
sungguh
kusyukuri jua nikmat kasih-Nya.
R2S Sri Merpati, Simanggang.
24 November 2022.
Kepompong Puisi
Dalam kepompong puisi
kata-kata bertukar menjadi rerama
pelbagai warna pelbagai makna.
Berterbangan dalam tafsiran dunia.
Tapi kata-kata untukmu
tidak pernah menjelma menjadi yang lain
kerana itu bahasa hati
bukan sekadar diksi puisi.
Kepompong puisi di tetasan waktu
rerama hatiku di tetasan rindu
hanya bunga yang tahu
riwayat kalbu.
Simanggang.