MERDEKA
Stadium Merdeka
bapa merdeka
mewakili tanah air tercinta
memerdekakan bumi tercinta
turun Union Jack
diiringi luangan merdeka
bergema merdeka di banjaran Titiwangsa
merdeka meniti dari bibir ke bibir
tanah air tercinta.
Paduka Ratu bersetuju
ikatan jarah dilepaskan begitu
bapa merdeka
tujuh gema merdeka
bergema dari kota ke desa
merdeka tanah air tercinta
jangan dijarah lagi.
Westminster
London.
NARATIF MERDEKA
Semenanjung Tanah Melayu
terlukis indah dalam sejarah Melayu
kedaulatan kerajaan Melayu
sedihnya tercetusnya virus cemburu
peluru iri hati memburu
memecah belah kesatuan jitu
sehingga terjarah Tanah Melayu
retak jiwa seribu satu
TERPANCAR WAJAH
WIRA BANGSA
Setiap detiknya tiba
terasa hiba terharu
satu demi satu
wajah mereka menjelma
keringat dan darah mereka
menyuburkan jiwa bangsa
agar tiada lagi terpercik sengketa
dijauhi lagi iri hati dan cemburu
biar ilmu dan jati diri
pembakar semangat juang
melangkah bergaya ke persada dunia
memajukan tanah air tercinta
wajah wira bangsa
tiada akan padam
wajah wira bangsa
memperjuangkan kemerdekaan
tersimpul mati dalam hati.
Dataran Merdeka
Kuala Lumpur.
pedihnya terjarah kalbu
pecah perintah senjata jitu
gagasan Malayan Union
penyedar kalbu
rakyat bersatu merdeka diburu
gema bersatu membelah waktu
rakyat bersatu memperjuangkan merdeka
merdeka Tanah Melayu.
Putrajaya.

Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor dan Sarjana Pendidikan (Pentadbiran Pendidikan) dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau menulis lebih 300 skrip drama radio disiarkan RTM Sarawak. Beliau juga menulis cerpen, sajak, rencana, skrip drama pentas dan novel. Karya beliau disiarkan majalah Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, akhbar Mingguan Malaysia, Berita Harian (Ahad), Utusan Borneo, Suara Sarawak dan The New Sarawak Tribune. Novel pertama beliau, Semangat Tanah menang hadiah kedua dalam peraduan menulis novel anjuran DBPS. Cerpen Tanah Emas menang Hadiah Sayembara Esso-Gapena. Beliau turut memenangi Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2013 dan 2018. Selain itu, beliau pernah menang hadiah peraduan menulis cerita kanak-kanak sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 2002 dan peraduan menulis karya kreatif sempena Hari Guru Peringkat Sarawak. Beliau pernah bertugas sebagai guru, pengetua dan pegawai pendidikan.