BEGITU LUMRAHNYA
Ketika perut meraung kelaparan
pasti teringat makanan
kehendak perut segera dipenuhi.
Ketika suara muazin berkumandang
memuji kebesaran Maha Pencipta
mengajak segera mengadap-Nya
dan lupakan urusan dunia seketika
adakah didengar laungannya?
Ajakan menuju kemenangan
kenapa tidak segera dipenuhi?
adakah kehendak perut lebih utama
atau begitu lumrahnya manusia?
Tepuk dada tanya selera.
Perairan Sarawak 30 September 2022
MASIH ADAKAH SISA WAKTU UNTUK KAMI
Ketika matahari tegak di atas kepala
bayang-bayang hilang di telapak kaki.
Peluh mengalir di dahi
bahangnya mengeringkan tekak
ketika menjalani perintah-Nya.
Dugaan Ramadan yang mulia.
Kurenung sekeliling
masih adakah sisa waktu
untuk kami merasainya lagi?
Persoalan berlegar tiada jawapan
hamba berserah kepada-Mu al-Alim
Yang Maha Mengetahui noktah pelayaran kami.
Ya al-Ghafur, ampuni dosa-dosa kami
yang sering terpesong mengemudi
bahtera di lautan kehidupan.
Engkaulah al-Afu.
BBPJ, Miri, Sarawak. 11 April 2022 @ 8 Ramadan 1443
MUSIM MERAIH LABA
Musim meraih laba
kembali menjelma
di peralihan masa.
Raikan kedatangan
dengan hidangan cinta
tanpa dihurung pura-pura.
Hanya sepurnama bersama
membentang panjang rahmat
melebat pekat nikmat.
Bermodalkan keakuran
sabar gigih dilatih
dalam hati yang jernih.
Syukur bersua semula
semoga reda Penguasa segala
meneduhi hidup umat setia.
Perairan Sarawak