
Antara karya terawal Zamhari Bakti ialah puisi “Sajak Rindu untuk Kekasih” dan cerpen “Duit Seringgit” yang disiarkan di akhbar tempatan sekitar 1999.
Menggunakan nama pena yang lain, beberapa karya beliau juga disiarkan di majalah Dewan Siswa, Tunas Cipta, Dewan Sastera, Majalah Pendidik, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya.
Manakala, karya beliau turut tersiar di akhbar dan tabloid seperti akhbar Mahasiswa, New Sabah Times, Suara Sarawak, Berita Harian, Utusan Malaysia, Akhbar Siasah, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia.
Karya beliau turut disiarkan menerusi platform online seperti Selangor Kini dan FB Tukang Puisi.
Manakala penglibatan dalam antologi dan swaterbit pula bermula pada 2019.
Sehingga kini karya Zamhari Bakti terbit dalam 22 antologi termasuk menjadi penyelenggara Antologi Cerpen Langit Senja yang diterbitkan oleh Pena Padu Press pada 2019.
Karya terkini dibukukan dalam antologi Puisi Menjunjung Langit terbitan Pena Padu.
Beberapa pencapaian terbaik beliau dalam penulisan ialah menjadi Johan Penulisan Skrip Pidato MRSM Kuching Sempena Minggu Bahasa 1996, Johan Sayembara Penulisan Esei Perpaduan UKM 2004, Pemenang Hadiah Sastera Tunas Cipta 2005 dan Pemenang Anugerah Permata Tersembunyi Wattys 2018 menerusi novel Gelandangan 40 Hari di Kuala Lumpur.
Beliau pernah menerima Hadiah Tunas Sastera Sarawak Kategori Puisi 2021/2022 menerusi puisi “Nostalgia Kota Samarahan”.
Sajak-Sajak yang
Hilang dari Simpanan
Kenangan lalu aku tulis menjadi sajak
kata menjadi baris
baris menjadi rangkap
rangkap menjadi tanda kenangan.
Sering kali kau bertanya
tentang metafora dan analogi
yang aku gunakan;
kerana kau tidak mengerti.
Sering pula aku berkata
biarlah aku gantung ia
menjadi bintang di langit
menghiasi malam
agar kenangan dapat kita lihat
dari rumah realiti
yang kita diami.
Ketika mentari tersenyum
di sebalik awan yang lain
aku mencari engkau, menghilang
dari laman rumah ini
bersama sajak-sajak
yang pernah kutulis.
Kota Samarahan
7 Ogos 2020.
Lepaskan Sajak Itu Bagaikan Rama-rama
(Lanjutan daripada Sajak yang Pernah Kutulis, Kembali ke Tanganku)
Sepatah kata
bagaikan seekor ulat beluncas
mengengsot pada ranting dan daunan hijau
ia melalui harinya mencari makna kehidupan.
Setelah itu, sang beluncas
mengatur diri dalam kepompong.
Begitulah juga kata-kata
mengatur dirinya dalam baris dan rangkap.
Pada waktunya yang ditentukan
sang beluncas menjadi rama-rama
membuka kepaknya berwarna-warni
begitu mempesona.
Aku tahu itulah sifat sebuah puisi
yang sempurna dalam aturannya
saling melengkapi kata dan baris dan rangkap
dihias metafora dan analogi
dilengkapi rima dan epifora.
Aku mengerti jika engkau terpesona
pada warna kepak yang memukau
namun seperti yang pernah aku katakan
padamu sebelum ini
lepaskan sajak itu
bagaikan seekor rama-rama.
Jika ia kembali
kau akan mengerti
ia milikmu selamanya.
Kota Samarahan
9 Februari 2021
Sajak yang Pernah Kutulis, Kembali ke Tanganku
(Lanjutan Sajak-Sajak yang Hilang Dari Simpanan)
Segenggam jujur aku gunakan
untuk membeli beberapa bungkus kemanusiaan.
Gadis bertudung kenangan kembalikan
bakinya tanpa aku teliti.
Aku segera menyimpan
ke dalam dompetku.
Malam tadi ketika bergelandangan
di wisma harapan, aku mengira baki yang tinggal.
Ketika itu barulah aku sedar
ada sekeping sajak yang pernah kutulis
kembali ke tanganku.
Aku yakin gadis bertudung kenangan itulah
yang memberikannya.
Aku menyedut rokok penyesalan
menghembusnya ke dada malam.
Angin khayal mengukir sekuntum ros
lalu menjadi buruj di langit esok.
Ia menemani aku untuk
semusim pagi yang baharu.
Kota Samarahan
30 November 2020.