KUCHING: Qariah kelahiran Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa, mengharumkan nama Malaysia apabila muncul johan kategori tilawah al-Quran wanita pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran (MTHQA) Peringkat Antarabangsa ke-66, 2026.
Kejayaan itu turut menamatkan penantian hampir 19 tahun untuk menyaksikan qariah dari Sarawak kembali menjulang nama negara dalam pertandingan berprestij itu, selepas Allahyarhamah Amnah Ayup muncul johan bagi kategori yang sama pada 2007.
Nur Syakura, yang bertugas sebagai Penyelia Guru al-Quran di Pusat al-Quran Darul Hana-Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS), membuktikan keupayaan anak Sarawak untuk bersaing di pentas antarabangsa menerusi penguasaan bacaan al-Quran.
Dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dari 6 hingga 10 Oktober itu, wakil Singapura, A’Til Qah Suhaimi, menduduki tempat kedua dengan 91.00 markah, manakala wakil Brunei, Dayangku Siti Ummi Syazana Pengiran Haji Marjuki, di tempat ketiga dengan 90.83 markah.

Dalam kategori tilawah lelaki, wakil Indonesia, Muhammad Fauji Ridwan, muncul johan dengan 94.67 markah, diikuti wakil Malaysia, Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali, di tempat kedua dengan 92.99 markah.
Wakil Belgium, Brahim Boughalab, melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan 92.17 markah.
Bagi kategori hafazan al-Quran lelaki, wakil Bangladesh, Ehtishamul Hoque Hira, muncul johan dengan 97.00 markah selepas mengatasi wakil Syria, Abdul Rahman Jamal Ibrahim, menerusi penilaian tajwid apabila kedua-duanya memperoleh markah yang sama.
Wakil Malaysia, Muhammad Izzul Afnan Sazali, menduduki tempat ketiga dengan 96.33 markah.

Dalam kategori hafazan wanita pula, wakil Niger, Chafaatou Issoufou, muncul johan dengan 96.17 markah, diikuti wakil Libya, Minnah Ali Alsoudani Aghnayah, dengan 95.50 markah.
Wakil Myanmar, Thein Gi Mon, melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan 95.00 markah.
MTHQA ke-66 yang bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara bagi empat kategori utama, iaitu tilawah dan hafazan al-Quran lelaki serta wanita.
Seramai 166 peserta dari 130 negara menyertai sesi kelayakan pada Julai lalu sebelum 25 peserta bagi setiap kategori terpilih untuk bertanding di peringkat akhir.
Kejayaan Nur Syakura bukan sahaja menjadi kebanggaan Sarawak, malah memperkukuh pencapaian Malaysia dalam usaha melahirkan qariah yang mampu bersaing dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.






