Pelakon muda yang juga alumni Dewi Remaja 2023, Nurel Baharin, mencuri perhatian ramai selepas memuat naik beberapa foto bertemakan majlis merisik di Instagram barubaru ini.
Perkongsian itu sekali gus mengundang pelbagai reaksi dan tanda tanya daripada peminat serta warga maya.
Menerusi hantaran tersebut, Nurel turut meninggalkan kapsyen, “Selangkah lebih dekat ke arah ikatan yang berkekalan, insya-Allah,” sekali gus menguatkan spekulasi bahawa dirinya bakal menamatkan zaman bujang.
Mengulas perkara itu, Nurel mengesahkan keputusan untuk melangkah ke fasa perkahwinan dibuat atas kerelaan hatinya sendiri dan bukan disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak.
Menurut pelakon berusia 24 tahun itu, keluarganya tidak pernah memaksanya untuk berkahwin, sebaliknya dia sendiri yakin dengan keputusan yang diambil pada fasa kehidupannya ketika ini.
“Saya percaya pada rezeki Allah selepas perkahwinan dan setiap fasa hidup ada aturan yang terbaik,” katanya.
Pada masa sama, Nurel memberitahu status sebagai isteri kelak tidak akan menjejaskan perjalanan kerjayanya dalam industri seni tanah air.
Anak kelahiran Sarawak itu berkata, dia akan terus aktif sebagai pelakon dengan menerima pelbagai tawaran lakonan, selain berusaha mengembangkan bakat yang dimiliki.
Dalam pada itu, Nurel turut menafikan dakwaan majlis merisik yang dikongsikan itu hanyalah gimik untuk meraih perhatian atau mempromosikan sebarang projek.
Sebaliknya, jelas Nurel, majlis tersebut merupakan permulaan kepada fasa baharu dalam kehidupannya apabila dia memilih untuk mendirikan rumah tangga pada usia 24 tahun dengan penuh keyakinan terhadap aturan Allah.






