Nuzul al-Quran semarak Ramadan di Kampung Semop

Sebahagian murid dan pelajar yang memeriahkan sambutan Nurul al-Quran anjuran Masjid Al-Amin Kampung Semop.

DARO: Lebih 300 penduduk menyemarakkan sambutan Nuzul al-Quran anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Al-Amin di Kampung Semop, semalam.

Setiausaha penganjurnya, Mohammad Nejatullah Husin berkata, program itu bukan sekadar mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk tetapi juga mengajak umat Islam agar memahami sejarah dan peristiwa penting di sebalik Nuzul al-Quran.

Selain itu katanya, ia juga bermatlamat mengiramahkan lagi Ramadan dengan program keagamaan di samping menyemai perasaan sayang masyarakat khususnya generasi muda terhadap kitab suci berkenaan.

“Jika dihayati sepenuhnya, program ini besar manfaatnya dan mampu menambah keyakinan kita kepada kebenaran al-Quran,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Antara penduduk yang hadir

Beliau memberitahu, program disertai oleh seramai 24 orang murid sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Semop yang berusia antara lapan hingga 12 tahun.

Manakala bagi tadarus al-Quran pula dimeriahkan dengan kehadiran seramai 33 orang murid dan pelajar yang berumur lapan hingga 17 tahun.

“Aktiviti ini merupakan aktiviti tahunan anjuran Masjid Darul Al-Amin. Kita gembira dengan sambutan penduduk yang membantu menjayakan penganjurannya malah, kerjasama seluruh ahli jawatankuasa penganjur juga amat baik.

“Selain merapatkan hubungan komuniti setempat, program ini juga mampu menerapkan semangat tolong menolong dan bekerjasama,” katanya.

Nejatullah berkata, penganjur akan terus komited untuk mengadakan program keagamaan dan memainkan peranan dalam menyebarkan dakwah supaya masyarakat terus mendapat keberkatan Allah S.W.T.

Sebahagian peserta membaca ayat kitab suci al-Quran.