Objektif pindaan RUU untuk memperkasakan kerajaan tempatan

KUCHING: Objektif pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan Tempatan (2020) adalah untuk memperkasakan kerajaan tempatan agar diberi status asal bagi memperoleh tanah adat untuk membangunkan pasar tamu, perpustakaan dan kemudahan yang lain untuk masyarakat luar bandar.

Menurut Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Tan Kai, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang dahulu dikenali sebagai Majlis Perbandaran Kuching (KMC) telah membina flat KMC untuk kumpulan pendapatan rendah meliputi perumahan, jalan raya dan gerai penjaja Song Kheng Hai.

Jelasnya, ini menunjukkan kerajaan tempatan telah memperkasakan pembangunan tanah tersebut selama ini.

Justeru, katanya kenyataan oleh Adun Kota Sentosa Chong Chieng Jen yang membantah pindaan RUU ini menunjukkan DAP tidak mempunyai keinginan untuk flat KMC ini dinaik taraf oleh majlis tetapi lebih berkenan diberikan kepada pihak swasta.

“Ia juga menunjukkan bahawa DAP tidak mahu majlis untuk membina lebih banyak pasar bagi memudahkan rakyat tetapi menyerahkan kepada sektor awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada perbahasan pindaan RUU tersebut, Chieng Jen mempersoalkan campur tangan kerajaan dan kerajaan tempatan terlibat dalam kesemua projek pembangunan ini.

Kata Chieng Jen, kerajaan dan kerajaan tempatan tidak mempunyai sebarang urusan untuk menyertai projek pembangunan untuk komersial, perumahan atau perindustrian.

Beliau yang juga Pengerusi Dap Sarawak berkata partinya tidak menyokong pindaan RUU tersebut kerana ia bertentangan dengan prinsip kerajaan tempatan untuk melaksanakan projek pembangunan.

Meskipun mendapat tentangan daripada pembangkang, pindaan RUU yang dibentangkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada semalam.

Suara Sarawak