OKT punca kes meningkat mendadak

KUCHING: Peningkatan mendadak kes positif Covid-19 Sarawak dengan 407 kes pada Jumaat disebabkan penularan dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT) di Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sejumlah 704 individu disaring dengan 245 daripadanya positif dengan kesemuanya OKT.

“Manakala 459 individu negatif adalah kakitangan Jabatan Imigresen dan kontak rapat. Saringan kali kedua akan dilakukan pada 29 Mac nanti,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Ujarnya, depot tahanan tersebut menempatkan 463 OKT dan kawasan berkenaan adalah terkawal serta tertutup kerana kesemua OKT itu tidak keluar dari tempat tahanan.

“Ia sama seperti kes positif yang melibatkan penjara di Semenanjung sebelum ini kerana tempat mereka agak terhad maka kes cepat merebak, namun tidak melibatkan masyarakat luar.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati mungkin ada pengabaian atau kecuaian dalam pematuhan SOP,” katanya.

Jelasnya, setiap kemasukan OKT mesti menjalani kuarantin wajib 14 hari serta saringan Covid-19 sebanyak dua kali sebelum boleh diletakkan bersama-sama tahanan lain.

“Jika selepas ditangkap dan terus diletakkan bersamasama OKT lain, inilah yang berlaku kerana mereka mungkin membawa virus. Kita sudah menghantar pasukan bagi menyiasat perkara ini,” ujarnya.

Pada Jumaat, Pusat Tahanan Semuja menyumbang 138 daripada 407 kes positif harian sekali gus menjadikan ia direkodkan tertinggi di negeri ini. P

engesanan aktif di penjara ujarnya pernah dilaksanakan sebelum ini dan tiada sebarang kes dicatat dan belum mempunyai perancangan untuk mengadakannya dalam masa terdekat.

Suara Sarawak