OKU rentung dalam kebakaran Rh. Chandi

SELANGAU: Seorang wanita warga emas hanya mampu berserah, setelah tidak sempat menyelamatkan anaknya yang rentung dalam kebakaran meranapkan sebuah rumah panjang 22 pintu berhampiran Sungai Tau di sini, malam tadi.

Diah Bunyah, 80, turut melecur 10 peratus di belakang badan kerana cuba menyelamatkan anaknya yang Orang Kurang Upaya (OKU) itu namun gagal kerana api sudah marak.

Dalam kejadian sekitar jam 8.25 malam, mangsa yang dikenali Riti Jubi, 43, hanya tinggal berdua dengan ibunya manakala semua penduduk rumah panjang terbabit pergi ke rumah panjang berdekatan untuk menghadiri upacara kematian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (Bomba) Tatau, Nazari Harun berkata kebakaran turut menyebabkan rumah panjang terlibat iaitu Rh. Chandi, yang dianggarkan mempunyai seramai 300 penduduk musnah 100 peratus.

“Semasa kejadian, hanya tinggal dua orang berada di rumah panjang terbabit iaitu mangsa bersama ibunya.

“Emaknya yang berjaya menyelamatkan diri telah melecur 10 peratus manakala anaknya yang OKU gagal menyelamatkan diri dan disahkan rentung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Nazari, bomba mengambil masa yang agak lama untuk pergi ke lokasi kerana tiada talian telefon selain melalui jalan ladang, bertanah, berbatu dan berbukit.

Katanya api berjaya dikawal menggunakan air parit berhampiran sekitar jam 11 malam, sebelum mayat mangsa yang rentung dijumpai di pintu rumah ke 17.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis pada jam 6.30 pagi untuk tindakan lanjut.

Diah melecur di belakang badan setelah cuba menyelamatkan anaknya yang rentung dalam kebakaran memusnahkan Rh. Chandi malam tadi.

 

Rh. Chandi musnah 100 peratus akibat kebakaran malam tadi, yang turut mengorbankan seorang OKU.