SIBU: Kejelitaan Olivia Gundi telah menarik juri untuk sebulat suara memilihnya sebagai Kumang Gawai Dayak Sibu 2019 pada Majlis Pra-Gawai Dayak Bahagian Sibu 2019.

Pada majlis berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, beliau turut membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000 beserta piala, hamper, selempang dan mahkota.

Naib johan atau gelaran ‘Lulong’ disandang oleh Gloria Malong untuk membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta piala, hamper dan selempang.

Tempat ketiga atau gelaran ‘Selinggar Matahari’ pula, disandang oleh Wati Assan untuk memenangi wang tunai RM1,000 beserta piala, hamper dan selempang.

Tempat keempat dan kelima pula masing-masing dimenangi oleh Stephny Maszleen Sophian dan Frederica John.

Mereka juga menerima hadiah wang tunai RM300 dan RM250.

Empat peserta lagi (tempat keenam hingga ke-9) iaitu Dorika James, Racquel Sheryl Echa, Norani Roseline dan Sharon Mathew men-erima RM150 setiap seorang sebagai hadiah saguhati.

Hadiah pemenang telah disampai oleh Presiden SIDS yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Dato Ir Alice Jawan.Turut mengiringi ialah Pengerusi SIDS Sibu merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola majlis Angelyn Uchi Maseng.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku ‘Tuai Pengabang’, Penasihat Khas kepada Jabatan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat.