ARTIKEL

Ombudsman bukan ordinan remeh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JIKA ada yang mentafsirkan ombudsman adalah perkara ringan dan remeh, anda silap!

Ombudsman, biarpun bersifat public complaint atau aduan rakyat, kesan sebenarnya jauh lebih besar.

Jika ombudsman tidak berfungsi sewajarnya, ia boleh meruntuhkan sebuah negara, apatah lagi kerajaan.

Kerana itu, apabila Kerajaan Sarawak menubuhkan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNIONS) pada 1 Februari 2018, ia sebenarnya mengejutkan banyak pihak.

Dan ternyata keputusan dan tindakan yang dilaksanakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu mencerminkan keberaniannya untuk mengubah sistem pentadbiran yang sedia ada, dengan komitmen untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan bertanggungjawab.

Pengenalan Ordinan Ombudsman Sarawak 2023, yang dibentangkan Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan diluluskan sebulat suara pada Isnin lalu menjelaskan keseriusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung hal ini.

Meski baharu untuk Malaysia, ia sebenarnya telah diamalkan oleh 115 daripada 195 negara di dunia yang mempercayai dan mengiktiraf sistem demokrasi.

Dan tiada satu pun yang menafikan kepentingan institusi ombudsman ini. Definisi ombudsman ialah pegawai yang dilantik untuk menyiasat aduan individu terhadap syarikat atau organisasi, terutamanya pihak berkuasa awam.

Jika ditelusuri sejarah, ombudsman bukanlah perkara baharu di dunia kerana ia telah mula diamalkan ketika pentadbiran Dinasti Qin di China dan Dinasti Joseon di Korea.

Di Korea,mereka dikenali sebagai amhaengeosa atau Penyiasat Rahsia Diraja, yang lazimnya menyamar sebagai rakyat biasa. Ketika pentadbiran Khalifah Umar Al Khattab, mereka dikenali sebagai Diwān al-Maẓālim.

Pun begitu, penggunaan istilah moden ombudsman ini bermula di Sweden dengan pelaksanaan Ombudsman Parlimen Sweden sejak 1809.

Pengenalan instrumen ini adalah untuk melindungi hak rakyat dengan menubuhkan agensi penyeliaan yang bebas daripada pentadbir eksekutif negara. Sebelum itu, pada 1713, Raja Sweden, Charles XII ketika berada dalam buangan di Turki, telah menubuhkan Högste Ombudsmannen atau Pejabat Ombudsman Agung; yang bertindak menjadi wakil baginda di Sweden. Ia untuk memastikan hakim dan penjawat awam bertindak selaras dengan undangundang dan tugas mereka.

Jika gagal berbuat demikian, Ombudsman Agung mempunyai hak untuk mendakwa mereka kerana kecuaian. Pada tahun 1719, pejabat ini bertukar menjadi Canselor Keadilan.

Ombudsman Parlimen ditubuhkan pada tahun 1809 oleh Riksdag Sweden, sebagai institusi yang selari peranannya dengan Canselor Keadilan yang masih ada ketika itu.

Dan konsep pengasingan kuasa seperti yang dibangunkan oleh Montesquieu, ahli falsafah dari Perancis telah diteruskan. Kerana kematangan pelaksanaannya, maka Kerajaan Sarawak telah menjadikan Sweden sebagai model untuk penubuhan Ombudsman Sarawak.

Memetik kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, ordinan ini mengutamakan kepentingan rakyat dan akan memastikan sebarang salah tadbir atau salah guna kuasa oleh penjawat awam dan sekutunya ditangani oleh badan yang bebas daripada anasir politik.

Pihak UNION katanya, akan bertindak sebagai penerima aduan rakyat dan seterusnya mengambil tindakan bersesuaian mengikut kes.

“Misal kata berlaku penyelewengan membabitkan rasuah, pihak ombudsman akan menyerahkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kalau membabitkan unsur jenayah, ia akan diserahkan kepada pihak polis.

“Maksudnya bagi kita di Sarawak, sebarang maladministration atau penyalahgunaan kuasa, akan ditangani sewajarnya daripada pihak yang bebas daripada arahan penjawat tertinggi, termasuk ahli politik.” 

Dengan ketelusan dan ketegasan ini jelasnya, sudah pasti pentadbiran negeri akan dapat menambah baik indeks persepsi rasuah, dan ini penting untuk meningkatkan keyakinan para pelabur. “Jika berlaku salah guna kuasa pada sebahagian agensi kerajaan, pihak pelabur luar malah boleh melapor dan pihak ombudsman ada kuasa untuk diambil tindakan,” katanya.

Dr Juanda menjelaskan, mungkin akan berlaku ketidakselesaan pada peringkat awalnya, tetapi jika budaya pentadbiran yang sihat dan telus sudah menjadi amalan, rasa tersebut secara sendirinya akan sirna. Berdasarkan ordinan yang diluluskan ini, pihak Ombudsman akan berkuasa untuk: (i) menerima, menyiasat, dan menyelesaikan aduan termasuk menolak sebarang aduan tidak berasas dan remeh; (ii) mengesyorkan tindakan pembetulan atau pencegahan yang diambil oleh agensi perkhidmatan awam negeri; (iii) memantau pelaksanaan syor yang dibuat oleh Ombudsman; (iv) menyedia dan menerbitkan laporan berkaitan penyelewengan oleh agensi perkhidmatan awam; (v) mengarahkan pengeluaran atau pemeriksaan bahan yang boleh membantu Ombudsman dalam siasatan; (vi) membuat penemuan fakta berdasarkan bahan bukti yang diperoleh ketika penyiasatan; (vii) memasuki dan memeriksa tempat yang berkaitan dengan aduan; dan (viii) untuk melakukan perkaraperkara dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan kuasanya di bawah Rang UndangUndang ini. Semua proses ini akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan oleh Ketua Ombudsman.

Difahamkan pemilihan Ketua Ombudsman Sarawak, yang dibantu oleh Timbalan dan tiga hingga lima anggota Ombudsman hendaklah memiliki kepakaran atau pengalaman yang relevan dan dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri, untuk jawatan maksimum tiga tahun. Ketika ini antara yang disenarai pendek termasuklah bekas pegawai kanan kehakiman negara, yang memiliki pengalaman dan integriti tinggi untuk memulakan proses ini.

Seperti rang undang-undang lain, ordinan ini tidak boleh dipandang remeh.

Seperti yang termaktub dalam peruntukannya, manamana pihak yang dengan sengaja memberikan maklumat palsu; gagal untuk hadir apabila menerima notis; menggunakan pengaruh yang tidak wajar; dengan sengaja menghalang, atau menentang Ombudsman atau mana-mana yang lain orang dalam melaksanakan kuasa mereka; melakukan penghinaan terhadap Ombudsman; dan membuat kesalahan yang nyata akan menerima hukuman.

Hukuman ini adalah penalti, antara RM10,000 hingga RM50,000 dan penjara antara enam bulan hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Bagi menjamin ketelusannya, rang undangundang ini menuntut Ombudsman mengemukakan laporan kepada Dewan Undangan Negeri, melalui menterinya akan semua aktiviti dan hal ehwalnya; hasil daripada sebarang siasatan yang dijalankan oleh Ombudsman termasuk manamana penemuan, cadangan dan pendapat; dan laporan lain yang difikirkan perlu oleh Ombudsman.

Yang jelas, Sarawak telah mendahului usaha ke arah pentadbiran bersih dan bertanggungjawab. Dan ini sudah pasti akan menimbulkan kegerunan kepada penjawat awam negeri yang berniat melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya mereka lakukan.

Ia juga tepat dengan komitmen Sarawak untuk mengembangkan ekonominya, dengan perbelanjaan negeri untuk tahun hadapan sahaja menjangkau RM12.3 bilion, termasuk pemberian pelbagai insentif kepada rakyat.

Ia juga sebenarnya menjadi mesej bahawa Abang Johari mahu perbelanjaan ini sampai ke tangan dan mulut rakyat, tidak diseleweng dan mampu membantu negeri ini mencapai status negeri maju pada 2030.

Percayalah, usaha baik ini akan menjadi ikutan, dan tidak mustahil akan menjadi model kepada negeri lain termasuk Kerajaan Persekutuan.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Lebih 360,000 ngusung Muzium Budaya Borneo

KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) ngerikod lebih 360,000 pengusung sepemanjai taun 2023. Menteri Dagang Temuai, Industri Kreatif enggau Seni Pemerindang (MTCP), Datuk Seri Abdul Karim