KUCHING: Nama calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) di DUN Krian, Musa Dinggat naik mendadak dalam minggu ini, setelah penyandang dan calon Bebas, Ali Biju mengumumkan menarik diri daripada bertanding mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.
Dengan jolokan “The Tiger from Krian”, anak kelahiran Sungai Klampai, Saratok itu optimis untuk memenangi kubu kuat Ali itu, yang beralih memberi sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.
Menurut Musa, keputusannya bertanding dalam pilihan raya kali ini dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan untuk mencari jalan terbaik bagi membangunkan daerah Saratok dan rakyatnya.
Pada masa sama dapat bersemuka dengan penduduk tempatan daripada semua latar belakang politik dan ekonomi, mengenai masalah dan penyelesaian yang mereka mahukan.
Beliau yang merupakan seorang peguam juga ingin berkhidmat untuk penduduk Saratok dengan menggunakan kemahiran dan pengalaman yang ada padanya menerusi bidang kerjanya.
“Tetapi lebih daripada itu, saya ingin berkomunikasi dan berinteraksi lebih banyak dengan orang ramai untuk mencari apa sebenarnya yang mereka mahukan dan bagaimana untuk melakukannya.
“Jika mahu melakukan perkara ini dengan bersungguh-sungguh, seseorang perlu berdialog dengan orang Saratok dan dari latar politik yang berbeza (daripada yang ada sekarang) agar kita dapat mendengar rintihan sebenar mereka,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan di Krian, Musa berkata daerah Saratok amnya sangat maju, terutama dalam bidang pendidikan dengan sekolah-sekolah mubaligh telah menjadi perintis dan evolusi pendidikan yang besar berlaku di situ.
Katanya selama bertahun-tahun, kawasan itu telah melahirkan ramai cendekiawan yang cemerlang serta telah menyumbang jasa kepada Sarawak.
“Saratok pada umumnya dan Krian secara khusus berada di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi.
“Justeru persoalannya kini, ialah apa yang perlu difokuskan untuk daerah ini?
“Apa lagi pembangunan infrastruktur yang diperlukan? Apakah jenis pertanian dan industri bagaimana yang sesuai,” katanya.
Musa berkata sebelum ini, beliau telah membuat kajian dengan teliti mengenai masalah pembangunan di daerah Saratok malah memperhebatkan program jangkauannya dengan masyarakat di peringkat akar umbi.