Ujian calitan Covid-19 di Pasar Tamu Betong esok

KUCHING: Orang awam yang pernah menjalankan aktiviti jual beli di Pasar Tamu Betong pada 10, 13 dan 17 Januari lalu, antara jam 7 pagi hingga 1 petang diminta untuk menjalani ujian calitan Covid-19 secara sukarela esok.
Menerusi notis yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong hari ini, pengambilan sampel Covid-19 akan dilaksanakan di Pasar Tamu Betong pada 24 Januari (Ahad) jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, orang ramai boleh menghubungi pegawai bertugas di Bilik Gerakan Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah Betong di talian 083-472360.
Sementara itu menurut Setiausaha Majlis Daerah Betong (MDB) Charlie Keling, pasar berkenaan akan ditutup kepada orang awam sehingga diberitahu kelak.
Katanya ia berikutan MDB akan melakukan kerja-kerja sanitasi di tempat tersebut kerana salah seorang penjaja di situ didapati positif Covid-19.
Tambahnya, selepas selesai ujian saringan esok hari, pihak Bomba akan melaksanakan sanitasi sehingga jam 6 petang.

Suara Sarawak