KUCHING: Operasi antirabies fasa empat akan dijalankan secara serentak di daerah Serian dan Simunjan bermula 20 hingga 25 Jun ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi kawasan Serian, operasi berkenaan akan meliputi 257 buah kampung dnegan 18,837 isi rumah.
“Kira-kira 7,817 anjing yang dimiliki oleh 3,900 penduduk manakala 552 merupakan anjing liar.
“Pada tahun ini, setakat ini, sebanyak 25 anjing telah diberi suntikan vaksin di daerah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN menambah, tahun lalu, sebanyak 9,457 anjing diberi suntikan vaksin antirabies termasuk di kawasan Tebedu.
“Bagi daerah Simunjan, operasi antirabies ini meliputi 144 kampung dan 12 ladang penanaman kelapa sawit.
“Kita menganggarkan 104 anjing liar manakala 257 lagi anjing yang belum menerima suntikan vaksin antirabies,” jelasnya.
Katanya, setakat ini, wabak rabies diisytiharkan sebagai “bencana peringkat dua” di Sarawak apabila penyakit anjing gila itu meragut 17 nyawa sejak Mei 2017.
Dalam pada itu, Uggah memberitahu, jawatankuasa itu mengendalikan tiga fasa operasi antirabies setakat ini.
“Operasi berkenaan meliputi daerah Lundu, Bau, Padawan, Samarahan dan Kuching.
“Dalam tiga operasi berkenaan, kita menyingkirkan 5,867 anjing liar dan 38 ekor kucing,” ujarnya.
Uggah yakin yang operasi terbabit mencapai objektifnya meskipun berdepan dengan cabaran, kelemahan dan penolakan.
Gambar
MESYUARAT … Kelihatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas mempengerusikan mesyuarat JPBN di Kuching, hari ini.