KUCHING: Sarawak mencatatkan jumlah tangkapan jenayah narkotik tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada tahun ini hasil pelaksanaan operasi bersepadu Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Sarawak.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah, operasi yang dijalankan sepanjang tahun ini berjaya menumpaskan 632 pengedar dadah, menahan 2,317 individu kerana memiliki dadah serta merekodkan 9,703 kes pengguna dadah sehingga 14 Disember 2025.
“Tindakan ini dilaksanakan secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi berkaitan bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri.
“Daripada rampasan dadah dan pil yang dilakukan, kita berjaya menyekat 763,861 kali penggunaan dadah serta menyelamatkan 47,574 individu daripada penagihan.
Statistik ini, walaupun menunjukkan peningkatan, sebenarnya membolehkan tindakan intervensi dilaksanakan ke atas komuniti terlibat termasuk melalui proses rehabilitasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Laporan Bulanan Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Sarawak di Wisma Bapa, hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Mustafa Kamal Gani Ab berkata jumlah rampasan dadah sepanjang tahun ini mencecah RM32,137,256, dengan rampasan tertinggi melibatkan 183 kilogram syabu dan 352 kilogram MDMA.
Menurut beliau, kejayaan operasi bersepadu ini membuktikan keberkesanan strategi penguatkuasaan serta disiplin pelaksanaan di lapangan.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim pula berkata pada 2026, AADK akan melaksanakan beberapa program rawatan dan pemulihan penagihan dadah.
“Antaranya termasuk kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi membangunkan sistem pemulihan untuk memantau kehadiran klien dalam program rawatan, sejajar dengan pindaan Akta Dadah 2024 yang dijangka meningkatkan bilangan peserta.
“Selain itu, AADK juga sedang membangunkan sistem E-TEKAD Tempat Kerja Bebas Dadah bersama Unit Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Premier Sarawak, di samping melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah menerusi jelajah kesedaran Aspirasi Bebas Dadah di seluruh negeri bermula dari Lawas hingga Kuching sepanjang 2026,” katanya.
Untuk rekod, Jawatankuasa OSC MIDS Sarawak melibatkan beberapa agensi utama kerajaan dan penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan, Jabatan Penjara Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan serta Majlis Pembangunan Sosial Sarawak.






