Operasi elak gangguan stok diesel

SIBU: Kapal tangki ‘Single Hull’ dibenarkan terus beroperasi untuk membekalkan barang keperluan termasuk bahan bakar diesel ke kawasan pedalaman di kawasan pesisir Sarawak.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim ketika mengadakan sidang media dan lawatan ke kapal berkenaan di Jalan Khoo Peng Loong di sini pada Isnin.

Beliau memberi jaminan dengan kebenaran tersebut, ia tidak akan mengganggu stok bekalan barangan seperti bahan bakar diesel ke kawasan tersebut.

“Dengan pindaan terba-haru ini yang dibuat pada Notis Perkapalan Malaysia (MSN)16/2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia di bawah MSN22/2020 dengan pindaan pada MSN16/2020 yang memperincikan pengecualian yang dinyatakan dalam notis ini.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan sekarang bersedia mendengar keperluan dan masalah rakyat khususnya komuniti perkapalan terutamanya pemilik kapal tangki dan pengusaha di Sarawak.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak atas usaha serta kebijaksanaan mereka menyumbang kepada pindaan MSN16/2020 bagi memberikan pengecualian untuk kapal tangki yang beroperasi di sungai di Sarawak,” tegas Adun Senadin itu.

Kim Shin menggesa pemain industri berkaitan khususnya ahli Persatuan Industri Maritim Sarawak (Samin), Persatuan Pemilik Kapal Sabah dan Sarawak (SSSA), pemilik dan pengendali kapal tangki yang berkaitan menghargai dan memberikan sokongan penuh dengan mematuhi syarat keselamatan khususnya prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

Beliau akan memberikan arahan kepada LSS sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam memantau dan menguatkuasakan peraturan sungai untuk memantau kegiatan kapal tangki yang beroperasi di sungai-sungai di Sarawak.

Katanya, pada 5 Ogos lalu, Jabatan Laut Malaysia telah mengeluarkan MSN16/2020 kepada pemilik kapal, ejen kapal, pelaut, operator pelabuhan, organisasi yang diakui dan industri marin tentang penjelasan mengenai pendaftaran kapal tangki minyak, kategori umum kapal tangki minyak dan sekatan pada jenis minyak yang dibenarkan dibawa sebagai kargo.

Menurutnya, pemberitahuan notis itu untuk menjelaskan kepada komuniti perkapalan mengenai pendaftaran kapal tangki minyak di bawah Bendera Malaysia, kategori umum kapal tangki minyak dan sekatan jenis minyak yang dibenarkan dibawa sebagai kargo kapal tangki tersebut.

Tambah Kim Shin, kementeriannya menerima aduan daripada Samin dan SSSA yang memaklumkan bahawa MSN16/2020 mempunyai implikasi negatif terhadap pemilik kapal tangki atau pengendali kapal tangki Sarawak yang had pelayarannya terbatas di pesisir dan sungai Sarawak.

Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Datuk Buckland Bangik dan Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak Marzuki Ibrahim turut hadir.