Operasi gempur kebakaran belukar dan tanah gambut di Sri Aman berjaya

SRI AMAN: Dua aset udara dikerahkan bagi menggempur kebakaran belukar dan tanah gambut di Sri Aman bermula pagi tadi.

Operasi sebelah pagi menggunakan pesawat Bombardier CL-415 Angkatan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas gagal dilaksanakan pada 18 dan 21 September.

Selepas itu tengah hari ini diteruskan oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri yang diketuai kapten TPgB I Ahmad Fissol Ismail menggunakan helikopter MI-171 pendaftaran M994-03 buatan Rusia.

Turut serta Ketua JBPM Zon Tiga Sri Aman PgB Nik Muhammad Afiq Nik Roslan.

Fissol bersama 12 krew difahamkan sudah mula melakukan operasi water bombing di kawasan Kampung STC sejak semalam.

Bomba yang turut dibantu beberapa agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang bertungkus lumus untuk memastikan kebakaran terkawal.

Untuk tambahan, lapan jenkaut digunakan untuk membuat fire break bagi mengelakan api terus merebak ke kawasan lain.

Operasi masih berjalan dan perkembangan lanjut akan dikemas kini dari masa ke masa.

Bacaan IPU semasa direkodkan menunjukkan trend meningkat dan sekitar 1:00 petang tadi mencecah 204, sangat tidak sihat.