Operasi Jala dilancar, perkukuhkan kawalan kemasukan PATI ke Sarawak

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan melancarkan Operasi Jala bagi memperkukuhkan kawalan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara terperinci berhubung operasi itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Ramai Pati yang ditangkap dari semasa ke semasa dan akhirnya didapati positif.

“Mereka adalah golongan yang berisiko dan menjadi ancaman besar kepada kita.

“Justeru, JPBN merasakan kita perlu lebih memperketatkan untuk mengurangkan jumlah Pati dan sebolehnya sifar Pati di negeri ini,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN berkata, pelancaran Operasi Jala menunjukkan keazaman JPBN untuk menentukan Sarawak sentiasa dilindungi.

“Jika di Semenanjung Malaysia dan Sabah, Pati adalah antara yang banyak membawa kepada masalah ini.

“Tetapi di Sarawak keadaan masih terkawal. Namun kita jangan terlalu yakin dan perlu ada usaha drastik dalam mengurangkan kemasukan Pati ke negeri ini,” katanya.

Menurut Uggah, tangkapan terbaharu telah dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) apabila menahan seorang warga tempatan yang membawa masuk enam warganegara Indonesia di simpang Kampung Aping, Serian.

“Kesemua mereka telah diserahkan ke Balai Polis Serian bersama barang rampasan berjumlah RM11,621 untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau menambah seramai 11 rakyat Indonesia telah diusir di jalan tikus di Kampung Biawak sebelum masuk ke Sarawak pada 19 dan 20 Disember lalu.

Suara Sarawak