Operasi mencari dan menyelamat nelayan hilang di Bintulu diteruskan

BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan lelaki hilang yang dikhuatiri tercampak ke laut akibat dipukul ombak, Khamis lalu disambung semula pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata SAR Mohd Ainul Median, 23, dari Kampung Hilir Kuala Tatau dimulakan seawal jam 10.30 pagi dengan fokus pencarian di sekitar pesisiran pantai Kuala Tatau dan perairan laut.
Pencarian di kawasan pesisiran pantai membabitkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JPBM) bersama Angkatan Pertahanan Awam(APM) menfokuskan pencarian dari muara Sungai Kemena ke Kuala Serupai sementara pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) Zon Maritim Bintulu dan Polis Diraja Malaysia dari arah Kuala Serupai menuju ke arah muara sungai Kemena.
Sementara itu, SAR di perairan laut pula membabitkan pasukan APMM dan polis marin dengan menggunakan KM Jepak dan KM Kilat.
Seramai 37 anggota terdiri daripada JBPM, polis, JPAM, APM, APPM Zon Maritim Bintulu, Polis Marin dan orang awam terbabit dalam SAR hari ini.
Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa dilaporkan turun ke laut menangkap ikan sekitar jam 10:30 pagi bersama-sama dua rakan menggunakan bot berasingan.
Bagaimanapun, sekitar jam 4 petang mangsa tidak muncul di jeti sehinggalah laporan dibuat.
Keluarga mangsa bersama-sama penduduk kampung, kemudiannya, keluar ke laut untuk mencari mangsa dan menjumpai bot mangsa telah terdampar di tepi pantai dalam keadaan baik serta enjin masih boleh dihidupkan.

Operasi SAR Mohd Ainul Median diteruskan pagi ini dengan fokus pencarian di sekitar pesisiran pantai Kuala Tatau dan perairan laut.