Operasi mengesan mangsa hilang di sungai diteruskan

KUCHING: Operasi hari keempat bagi mengesan mangsa dikhuatiri hilang ketika menjala udang di sungai Loba Rambungan Trombol diteruskan, hari ini.

Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Mohamed Ekhwan Mohamed, 64, dilaporkan hilang kerana tidak pulang ke rumah selepas menjala udang pada Isnin lalu.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak turut dikerahkan bagi membantu pengoperasian mengesan mangsa di sekitar lokasi.

Katanya, operasi pencarian hari keempat diketuai oleh Pengarah JBPM Sarawak, PKPjB Khirudin Drahman bersama enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah dilakukan bermula seawal jam 9.30 pagi.

“Aktiviti SAR diteruskan dengan radius pencarian satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Pasukan penyelamat turut dibahagi kepada dua kumpulan iaitu di Zon A dan Zon B sebelum bergerak memulakan pencarian dengan kaedah ‘water surface searching’ di sepanjang hulu dan hilir sungai,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, beberapa anggota daripada agensi Swift Wildlife Action Team(SWAT) daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC), RELA, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), dan SRS turut hadir ke lokasi bagi membantu misi pencarian mangsa.

Kenyataan itu menambah, operasi hari keempat SAR seterusnya ditangguhkan pada jam 6 petang memandangkan keadaan cuaca semakin gelap.

Suara Sarawak