Operasi pemvaksinan pagi hingga malam

SIBU: Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee yakin proses pemvaksinan kepada penduduk Sibu dapat dipertingkat dari semasa ke semasa. Bercakap kepada media ketika ditemui semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Suarah Sibu, beliau berkata, setakat ini Sibu mempunyai enam PPV.

Ia terdiri daripada PPV di Stadium Tertutup Sibu, PPV di Dewan Suarah Sibu, PPV di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (Lakis), Dewan Komuniti Sibu Jaya, Klinik Kesihatan Lanang, Klinik Kesihatan Sibu Jaya dan Pusat Perubatan KPJ.

Bagaimanapun, katanya, PPV di Dewan Lakis mula beroperasi hari ini dan dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). “Cadangan menubuhkan PPV di Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) kini masih menunggu kelulusan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

“PPV ini nanti akan dikendalikan oleh Universiti Perubatan SEGi dan saya percaya akan mendapat kelulusan dalam masa terdekat ini,” ujar Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.

Beliau memberitahu lagi, pasukan vaksinasi bergerak yang sedang giat melaksanakan pemvaksinan di Daerah Selangau dan Kanowit juga dipanggil untuk membantu. Jelasnya, beliau akan memohon melalui Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu untuk menempatkan pasukan tersebut ke Sibu.

“Dengan adanya PPV serta pasukan vaksinasi bergerak, saya rasa imuniti kelompok dapat dicapai mengikut sasaran kita. “Setakat ini lebih 36 peratus penduduk Sibu sudah divaksin dan peratusan ini mampu meningkat selepas kita mempergiat pemberian vaksin melalui PPV sedia ada,” katanya yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.

Bercakap mengenai PPV di Dewan Suarah Sibu yang mula beroperasi semalam, Dr Annuar berkata, ia dikendalikan oleh Pusat Perubatan Rejang (RMC) dan mampu memberi sehingga 1,200 dos vaksin dalam sehari.

Namun, beliau percaya dos itu mampu dipertingkat apabila PPV ini beroperasi pada hujung minggu dan dilanjutkan hingga malam. “Buat masa ini, RMC mengatur proses pemvaksinan dari Isnin hingga Jumaat, mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun, petugas di PPV ini boleh bertukar dengan pasukan lain yang akan menggantikan mereka hingga malam dan hujung minggu,” kata Adun Nangka itu. Beliau turut memuji usaha RMC kerana begitu komited dalam memvaksinkan penduduk Sibu.

Dalam perkembangan lain, Dr Annuar memberitahu, pasukan vaksinasi bergerak akan memberikan vaksinasi kepada 1,688 penduduk 31 rumah panjang di Dun Nangka dalam masa tiga hari. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif RMC Dr John Tang, Pengurus Besar RMC Anne Lau dan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit.

Suara Sarawak