SARIKEI : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anak kapal ikan yang dilaporkan hilang di Tanjung Manat semalam, diteruskan pagi ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata, pasukannya bergerak ke lokasi pada jam 7 pagi dan dijangka melakukan pencarian pada radius 2.5 dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Menurutnya, operasi hari pertama pencarian meliputi kawasan kira-kira tiga kilometer persegi dan berakhir pada jam 3.50 petang.
“Kita tidak menjumpai sebarang petunjuk positif sehingga operasi ditangguhkan dan bersambung hari ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang anak kapal yang dikenali sebagai Hendry Belaja atau Boy, 26, dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke dalam laut.
Mirwan berkata, kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 8.10 malam selepas semua kru kapal terbabit menikmati makan malam.
“Salah seorang rakan terlihat mangsa membawa alat pelampung ke belakang kapal sebelum dilaporkan hilang.
“Kejadian disedari ketika semua pekerja hendak memulakan operasi menangkap ikan kira-kira jam 4 pagi.
“Sejurus menyedari kehilangannya rakan-rakannya berusaha mencari di sekitar kawasan kejadian namun gagal. Susulan itu, satu laporan dibuat sebelum operasi SAR dilancarkan,” katanya.



