
BINTULU: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang di kawasan air terjun Belaga ditangguhkan pada jam 6 petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, pasukan PPDA telah melakukan enam senaman namun gagal menjumpai mangsa sehingga jam 5.46 petang.
“Hasil perbincangan komander operasi dan ketua operasi, SAR ditangguhkan dan akan disambung semula esok,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Polis (DSP) Rohana Nanu berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa, Basrul, 21, pada jam 3 petang.
Berdasarkan laporan katanya, mangsa pergi ke kawasan itu seorang diri sebelum dilaporkan tidak kembali ke tempat kerjanya.
“Setakat ini, belum ada maklumat lanjut berhubung punca sebenar kejadian itu,” katanya.
Pada masa yang sama, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan pada jam 12.20 tengah hari.
Ujarnya, pasukannya terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer dari Kem Menawan dan tiba di lokasi kejadian pada jam 1.00 petang.