TERGURIS dan cukup mengecewakan. Itu yang dapat digambarkan tentang perasaan rakyat, terutamanya pegawai, anggota dan keluarga anggota keselamatan negara, gara-gara tindakan pemimpin kanan Parti Warisan Sabah, Datuk Mohamaddin Ketapi menuduh pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013 sebagai ‘sandiwara politik’.
Sebagai Ahli Parlimen Lahad Datu dan wakil rakyat veteran, beliau seharusnya sensitif.
Malah berhati-hati sebelum membuat kenyataan ‘berbahaya’ seperti itu. Tindakan ketenteraan di negara ini bukan main-main, apatah lagi jika melibatkan mereka yang bersenjata dan berlakunya pencerobohan kedaulatan.
Pertaruhan untuk krisis sebesar ini adalah ‘nyawa’. Malah kerajaan berbelanja besar dalam menggerakkan aset ke lokasi operasi.
Beratus-ratus anggota tentera dan polis diarahkan berkampung di Felda Sahabat ketika itu untuk memastikan penceroboh tidak mara lebih jauh, dan berjaya disekat.
Pasukan keselamatan meninggalkan anak isteri untuk memastikan perintah berkurung dipatuhi dan setiap rakyat Lahad Datu selamat, termasuk dipindahkan ke lokasi yang terkawal rapi.
Untuk itu, Mohamaddin seharusnya berterima kasih dengan gerakan ketenteraan yang diambil, yang berjaya menawan semula gugusan Felda Sahabat, Kampung Tanduo, malah Tanjung Labian yang sebelum itu diduduki oleh penceroboh, Askar Diraja Kesultanan Sulu yang diketuai Raja Muda Azzimudin Kiram.
“Ia bukan main-main,” kata seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat dalam Ops Daulat tersebut.
Mereka datang ke Lahad Datu, lengkap dengan senjata api.
“Musuh yang dilawan bukan calang-calang orang. Mereka amat menakutkan dan dilengkapi dengan semangat keberanian yang luar biasa.
“Sewaktu kami bertahan di kawasan ladang sawit, kami tidak boleh tidur.
Malah kami cuba diserang oleh penceroboh hingga terpaksa melepaskan tembakan bertalu-talu.
Ada antara mereka (penceroboh) cukup kebal, ditembak berkali-kali tetapi masih mampu berdiri sebelum mati,” katanya yang enggan dikenali Imbasnya, pihak penceroboh memang nekad untuk berjuang hingga mati, dan mereka bukan main-main.
Kerana itu mereka sanggup membunuh, termasuk dengan menembak mati ASP Zulkifli Mamat di Kampung Tanduo.
Dalam ucapan kempennya yang dirakam video berdurasi sekitar dua minit baru-baru ini, Mohamaddin yang juga mantan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya secara jelas menghina pasukan keselamatan sebagai mengebom kelapa sawit dan rumah ketika operasi tersebut, manakala pasukan di darat berperang dengan ‘ayam dan anjing’.
Tujuan perang itu dakwanya adalah untuk meningkatkan sokongan terhadap Kerajaan Umno yang ditentang hebat oleh PKR ketika itu.
“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya. Untuk rekod, pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu telah memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu.
Apabila konflik berakhir pada 10 April 2013, seramai 56 pengganas terbunuh, manakala 10 pegawai keselamatan Malaysia dan enam orang awam terkorban.
Justeru di mana perkara ini boleh dianggap sebagai main-main?
Sebagai seorang ahli politik veteran, apatah lagi lulusan luar negara (dari Universiti Buckingham), kita tidak percaya Mohamaddin menjadikan insiden ini sebagai modal politik.
Apakah beliau terlalu terdesak hingga terpaksa mengapi-apikan sentimen yang tidak perlu?
Apakah beliau lupa, bos beliau sendiri, Datuk Seri Shafie Apdal turut terlibat dalam membantu kerajaan menghadapi insiden tersebut.
Memang mudah untuk bercakap, kemudian menuduh kenyataan disalah tafsir dan dipetik di luar konteks sebelum meminta maaf.
Namun ia sebenarnya perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana telah mengguris hati anggota keselamatan yang terlibat, terutamanya keluarga 10 pegawai dan anggota yang terkorban.
Nyawa mereka tidak akan dapat diganti, justeru tidak wajar keperitan yang dihadapi keluarga mereka ditambah dengan tuduhan perjuangan Ops Daulat tersebut adalah sia-sia.
Setakat pojok ini ditulis, puluhan laporan polis telah dibuat di seluruh negara.
Sewajarnya Mohamaddin dipanggil untuk disiasat dan dihukum kerana kebiadapannya.
Usah lepaskan beliau, biarpun hakikatnya beliau terpaksa berkempen untuk Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan berlangsung beberapa hari lagi.
Biar tangkapan dan siasatan pihak berkuasa menjadi pengajaran kepada semua ahli politik.
Berhati-hati apabila bercakap kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Jika hendak berpolitik, berpolitiklah dengan matang dan bijak.
Usah cipta sentimen yang boleh melukakan banyak jiwa.
Apatah lagi memecahbelahkan sebuah negara. Usah terlalu angkuh dan sombong, hingga menidakkan realiti demi satu undi yang belum pasti.
Kepada rakyat Malaysia di mana sahaja, ahli politik ‘busuk’ seperti ini seharusnya tidak mendapat tempat di hati kita
• Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.