Ops Naga Timur pantau perairan Sarawak dari diceroboh

BINTULU: Bagi mengawasi perairan negeri Sarawak bebas daripada kegiatan pencerobohan bot nelayan asing terutama Vietnam, satu operasi khas dikenali “OPS NAGA TIMUR” telah dijalankan oleh Maritim Negeri Sarawak.

Operasi Khas yang dijalankan bermula Isnin 15 Julai lalu mendapati perairan negeri Sarawak selamat daripada sebarang pencerobohan.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan dalam kenyataannya berkata pengawasan yang telah dijalankan selama seminggu itu hanya mengesan kehadiran bot-bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan.

Menurutnya, operasi yang dijalankan kali ini bukan sahaja melibatkan aset- aset laut Maritim Negeri Sarawak, sebaliknya, ia turut membabitkan sebuah helikopter AW139 daripada Bahagian Operasi Udara serta penglibatan Pasukan Tindakan Khas (STAR) Maritim Malaysia.

Ini menunjukan komitmen kami dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan untuk menjaga perairan negara khususnya di negeri Sarawak, katanya.

Tambahnya lagi, Bahagian Operasi Udara Maritim telah melakukan penerbangan setiap hari sehingga jarak melebihi 150 batu nautika dari daratan untuk mengesan bot-bot dari negara asing.

Namun, kata Robert dalam tempoh tersebut tiada terdapat satu pun yang kelihatan di perairan Sarawak.

Kami juga ada merakamkan keadaan perairan Sarawak semasa pengawasan dibuat di mana banyak menunjukkan nelayan tempatan keluar mencari rezeki tanpa berhadapan gangguan daripada bot nelayan asing.

“Maritim Negeri Sarawak juga ingin mengingatkan kepada kesemua pengusaha bot nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub di dalam Akta Perikanan 1985, katanya lagi.

Beliau, dalam pada itu menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan atau kegiatan yang menyalahi undang-undang yang berkuatkuasa di Zon Maritim Malaysia.

Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana individu tempatan yang bersekongkol dengan nelayan Vietnam untuk memasuki perairan negeri Sarawak.

Bagi nelayan asing yang berani menggugat ketenteraman perairan negeri Sarawak, mereka akan berhadapan dengan Maritim Malaysia dan tindakan undang-undang akan dikenakan tanpa gagal.”

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam atau MERS 999.

Suara Sarawak