
BINTULU : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, semalam melancarkan Ops Bersepadu ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ bermula 18 hingga 27 Januari sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Timbalan Pengarah JPJ Sarawak Erick Jusiang berkata, operasi bersepadu itu berlandaskan empat teras iaitu pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian.
Sepanjang tempoh itu katanya, pegawai penguat kuasa JPJ akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan termasuk rondaan di kawasan ‘panas’, terminal bas, di sepanjang jalan utama serta menyamar sebagai penumpang bas.
Katanya, kenderaan barangan dilarang untuk bergerak di jalan raya semasa musim perayaan bermula dua hari sebelum Tahun Baru Cina (20 dan 21 Januari) dan dua hari selepas perayaan (24 dan 25 Januari).
“Ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kemalangan jalan raya akibat aliran trafik bercampur antara kenderaan berat dan ringan.
“Pada masa sama, mengelakkan kesesakan lalu lintas kerana ramai orang dijangka memandu pulang ke kampung masing-masing dalam tempoh ini,” katanya ketika ditemui selepas memeriksa keadaan bas ekspres yang berlepas dari Terminal Bas Bintulu Sentral di sini ke destinasi masing-masing, semalam.
Untuk rekod, beliau berkata operasi pra Tahun Baru Cina telah dilaksanakan dari 14 hingga 17 Januari lalu untuk memeriksa bas ekspres di 11 depoh dan empat terminal bas di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.
“Pemeriksaan tertumpu kepada semua pengusaha bas supaya mematuhi piawaian tayar bas dan memastikan brek dan lampu semuanya dalam keadaan baik,” katanya sambil menambah pemeriksaan saman tertunggak membabitkan pemandu dan pengusaha bas turut dijalankan.