Orang luar tidak faham sistem Sarawak

KUCHING: Orang luar tidak memahami sistem pelantikan ketua kaum dan ketua masyarakat di Sarawak sehingga mereka sendiri terkeliru.

Demikian tegas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menyelar kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah apabila memberitahu Kerajaan Persekutuan akan melantik Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) untuk setiap kampung pada pertemuan dengan pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kuching Ahad lalu.

Menurut Uggah, terdapat dua struktur di Sarawak iaitu ketua kaum seperti tuai rumah, kapitan dan ketua kampung yang mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di setiap kampung.

“Struktur kedua, kita akan ada ketua masyarakat yang terdiri daripada penghulu, pemanca dan temenggung apabila dibayar sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Apabila Timbalan Menteri (Sivarasa) mula keliru mengenai perkara ini, maka, saya katakan orang luar tidak memahami sistem kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan dana bantuan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) bagi fasa pertama di Wisma Bapa Malaysia hari ini.