ARTIKEL

‘Otak Sanusi masuk air ke! – Tiong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: ‘Otak Sanusi masuk air ke!’ Itu kata-kata balas diberikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menghinanya sebagai ‘tokong kepala botak, perut besar’.

“Saya tak kisah kalau Sanusi nak hina wajah saya, tapi Sanusi kena ingat sebagai MB harus sentiasa menghormati antara satu sama lain.

“Tapi bila Sanusi sebagai MB menggunakan istilah yang tidak sepatutnya apabila menyebut ‘tokong kepala botak, perut besar’ jelas dilihat menghina seseorang.

“Sanusi kena rasuk ke sampai tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikian…inikah mentaliti dan sikap seorang MB,” katanya dalam perkongsian di media sosial.

Beliau menyatakan demikian bagi membalas tindakan Sanusi yang seperti hilang pertimbangan kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, ketika mengkritik Tiong yang menurutnya tidak memberikan sebarang pandangan ketika mesyuarat mereka dengan wakil kerajaan Thailand di Sadao, Selatan Thailand.

Ahli Parlimen Bintulu yang juga ADUN Dudong itu menyifatkan Sanusi gagal mentadbir Kedah, sehingga menggunakan politik ekstrem demi kelangsungan politiknya.

Justeru, Tiong mengingatkan Sanusi agar bersederhana dalam berpolitik kerana politik ekstrem tidak sesuai diamalkan dalam Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

“Apa yang berlaku ini membuktikan bahawa Sanusi tak layak jadi MB untuk rakyat berbilang agama, kaum dan budaya di Malaysia,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Sanusi nampaknya seperti berdendam dengannya tanpa sebab, sejurus selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawat dari Thailand, Sretta Thavisin pada 27 November lalu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand.

Menjelas mengenai pertemuan yang turut dihadirinya itu, Tiong berkata tujuannya antara lain memantapkan hubungan dua hala Malaysia-Thailand, selain ia bukan kunjungan mengejut atau melulu sebaliknya telah lama dirancang.

“Malah sejak awal Oktober 2023 lagi Malaysia dan Thailand sepakat untuk menubuhkan pasukan petugas bagi meningkatkan kerjasama dua hala berkaitan pertanian, pelancongan, keselamatan, perdagangan dan perniagaan termasuk sektor halal,” katanya.

Tiong menambah, meskipun tujuan utama lawatan itu adalah untuk melihat kemajuan kerja bagi projek jajaran jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitan di Malaysia dan CIQ Sadao, namun kesempatan itu juga digunakan untuk perbincangan berkaitan bidang perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan serta keselamatan sempadan.

“Saya adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, jadi apa yang Sanusi ‘panas’ sangat.

“Sebagai MB Kedah yang bersempadanan dengan Thailand, apa yang Sanusi dah buat…berapa banyak pelaburan berjaya dibawa masuk untuk manfaat rakyat Kedah dan Malaysia?” soalnya.

LAIN-LAIN BERITA

SEDAR mahu belajar daripada GPS untuk majukan Sabah

KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) bersedia untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Presidennya, Datuk Othman Abdillah berkata, usaha itu bagi memastikan Sedar

Cubaan tiga lelaki curi kereta gagal

KOTA SAMARAHAN: Cubaan tiga lelaki melarikan sebuah kereta di Taman Uni Garden gagal apabila diberkas polis selepas terbabas di Jalan Stutong, pada malam Selasa. Pemangku

BERITA TERBARU